Siakap Keli

Ibarat Filem Taken, Kisah Ibu Buru Seorang Demi Seorang 10 Ahli Kartel Dadah Yang Menculik Anak Perempuannya

Palsukan kad pengenalan, guna senjata api dan merayau di seluruh Mexico selama bertahun-tahun demi menjejak pembunuh anaknya.

Itulah yang dilakukan oleh Miriam Rodriguez, seorang ibu yang sanggup bergadai nyawa melakukan apa sahaja demi anaknya.

Segalanya bermula apabila anak perempuannya, Karen Alejandra Salinas Rodriguez hilang diculik oleh sekumpulan ahli kartel dadah pada usia 20 tahun ketika 2012 lalu.

Sejak tragedi tersebut, pelbagai usaha dilakukan Miriam bagi mendapatkan semula anaknya itu namun semuanya menemui kegagalan.

Malah difahamkan, kumpulan tersebut menjadikan Karen sebagai tebusan dan Miriam juga diminta untuk menyerahkan sejumlah wang kepada mereka sebagai ganti.

Namun malangnya, semua perintah yang dituruti itu hanyalah janji-janji palsu.

Sehinggalah dua tahun selepas kehilangan, akhirnya mayat Karen ditemui di sebuah ladang di satu lokasi yang tidak dinyatakan.

Miriam Rodriguez, ibu yang berjuang untuk kematian anak | Gambar: Agensi

Misi bermula

Dengan naluri keibuan yang membakar semangatnya, Miriam merangka satu perancangan rapi untuk menuntut bela atas kematian Karen.

Bermula sejak itu, Miriam merentas ke serata Mexico untuk menjejaki mereka selama tempoh tiga tahun.

Pernah satu masa ketika berlangsungnya sesi pilihan raya, Miriam sanggup menyamar menjadi seorang pegawai pilihan raya yang bertugas.

Difahamkan tujuannya adalah untuk mengesan nama, alamat dan maklumat peribadi kumpulan kartel dadah tersebut yang datang mengundi di kawasan berkenaan.

Selain itu, usaha perisikan Miriam yang penuh berisiko itu mula membuahkan hasil apabila dia ‘berpeluang’ menemui salah seorang kartel ketika berada di sempadan Texas.

Miriam Rodriguez, ibu yang berjuang untuk kematian anak | Gambar: Agensi

Menurut laporan media, individu tersebut pada ketika itu sedang menjual bunga di kawasan berkenaan.

Tanpa membuang masa, Miriam mengeluarkan sepucuk pistol dan mengajukan kepadanya sebelum menumpaskannya.

“Kalau kau bergerak, aku tembak kau!” jeritnya sebelum individu berkenaan ditangkap polis.

Hidu jejak penjenayah melalui media sosial

Dalam satu usaha lain, Miriam pernah terdengar ada seseorang memanggil salah seorang daripada geng kartel itu dengan nama panggilan ‘Sama’.

Lantaran itu, Miriam terus menghabiskan masa di media sosial beberapa hari untuk menjejaki individu tersebut, sehinggalah akhirnya dia menemui satu gambar yang di’tag’ dengan nama Sama.

Dalam gambar itu, Sama berdiri di sebelah seorang perempuan muda yang memakai baju seragam sebuah restoran aiskrim yang berlokasi di Ciudad Victoria, kira-kira dua jam dari tempatnya.

Bertindak atas maklumat, Miriam terus menuju ke kawasan di sekitar restoran tersebut dan menghabiskan masa selama berminggu-minggu bagi mengenal pasti adakah benar Sama bekerja di sana – seperti dalam gambar yang dijumpainya.

Pergerakan kartel dadah di Mexico | Info: Agensi

Penantian akhirnya berhasil, Sama dikesan memang berada di restoran tersebut.

Lalu Miriam meneruskan jejaknya mengekori setiap langkah Sama sehinggalah ke rumahnya untuk mendapatkan alamat penuh.

Malah dikatakan ketika di kawasan itu, Miriam juga sanggup berpura-pura melakukan penyamaran dan beraksi seperti biasa agar perisikannya tidak dapat dihidu oleh jiran-jiran Sama.

Hasil tinjauan yang dijalankan, segala maklumat lelaki berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Bagaimanapun, ketika waran tangkap sudah dikeluarkan, Sama didapati telah melarikan diri meninggalkan bandar itu.

Namun Sama tersilap langkah apabila dia menjejakkan kaki ke sebuah kedai di bandar tersebut, yang kebetulan ianya adalah milik anak lelaki Miriam, iaitu Luis.

Tidak membuang masa, Luis terus menghubungi ibunya dan pihak polis untuk memaklumkan ‘penemuan’ Sama di situ.

Tidak lama kemudian, pihak polis tiba di kedainya dan Sama akhirnya tertangkap.

Perjuangan lima tahun berakhir

Semasa dalam tahanan, Sama menyerahkan segala maklumat seperti nama dan lokasi rakan sekongkolnya yang lain kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dalam masa sama, Miriam pula meneruskan misinya menuntut keadilan secara undang-undang atas kes kehilangan dan kematian anaknya itu.

Namun malang tidak berbau, perjuangan penat lelah Miriam selama lima tahun akhirnya berakhir dengan tragedi memilukan.

Pada 10 Mei 2017 ketika semua orang sedang berseronok menyambut Hari Ibu, rumah Miriam dimasuki seorang lelaki bersenjata.

Mungkin atas dasar dendam, Miriam ditembak di situ dengan 12 das tembakan sebelum tersungkur ke bumi dan cedera parah.

Rumah Miriam tempat dia ditembak dengan 12 tembakan | Gambar: Agensi

Lantaran itu, Miriam terus dikejarkan ke hospital, namun masa tidak mengizinkan. Miriam akhirnya meninggal dunia ketika dalam perjalanan.

Difahamkan, serangan lelaki bersenjata tersebut berlaku hanya beberapa minggu selepas beberapa suspek utama ditangkap polis.

Selepas kematiannya, kes menuntut pembelaan kematian Karen masih berjalan dan anak lelakinya, Luis pula bertanggungjawab mengambil alih peranannya bagi kes tersebut.

Kes perjuangan Miriam ini pernah menjadi tajuk utama dalam kebanyakan laporan media antarabangsa sebelum ini.

Malah laporan media menyifatkan, keberanian Miriam serta modus operandi kerja-kerja risikan yang dijalankannya adalah saling tidak tumpah seperti watak Liam Neeson dalam filem Taken (2008) yang menjejaki anak perempuannya yang hilang setelah diculik oleh penyeludup Albania semasa bercuti di Perancis.

Sumber: The Sun

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'