Siakap Keli

Ini Perkara Yang Korang Kena Tahu Sebelum Buat Keputusan Keluarkan RM10,000 Akaun 1 KWSP

Bermula 21 Disember 2020 haritu meriah di media sosial, sampai jadi viral apabila permohonan KWSP i-Sinar sudah dibuka untuk kategori 1. Untuk yang belum tahu, i-Sinar ini adalah satu inisiatif kerajaan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan duit dari akaun 1 mereka. i-Sinar ni khas untuk mereka yang mengalami kesempitan kewangan dan pendapatan terjejas ketika pandemik Covid-19.

Rasanya semua tahu, kenapa selama kita bekerja, kita perlu mencarum dengan KWSP. Ya, betul untuk dana persaraan korang nanti selepas umur 55 tahun. Yelah, korang dah bersara nanti mesti memerlukan duit untuk kelangsungan hidup, penjagaan kesihatan, bayar bil-bil utiliti rumah dan mungkin masih ada hutang-hutang yang perlu dibayar. Sebab korang mungkin tidak mampu lagi untuk bekerja selepas umur 60 tahun. Tambahan pula, jangka hidup rakyat Malaysia sekarang makin meningkat. Selepas bersara, macam mana nak tampung kehidupan kalau tiada simpanan?

Tapi sejak Covid-19 melanda negara ni, isu pengeluaran duit KWSP sering diperdebatkan di media sosial khususnya. Pada yang dah bercadang nak memohon i-Sinar ni, fikir dua tiga kali, fikir sampai ‘masak’ supaya bila korang dah bersara nanti, pengeluaran hari ini tidak menjadi beban korang di kemudian harinya. Jika tiada keperluan dan pendapatan bulanan tidak terjejas, sebaik-sebaiknya duit dalam akaun 1 korang tu tak diusik untuk korang guna lepas bersara nanti.

Menyimpan dalam KWSP ni banyak manfaatnya, duit yang korang simpan akan dilaburkan dalam pelbagai pelaburan. Makin lama, simpanan korang makin bertambah kerana setiap tahun KWSP akan memberikan dividen dari hasil pelaburan yang mereka buat. Jika banyak korang menyimpan, lagi banyak lah yang korang boleh dapat. Sampailah masa bersara nanti, boleh keluarkan semua duit simpanan ini untuk enjoy hari tua korang.

Selain itu, kerajaan juga ada menyediakan pelbagai bantuan untuk isi rumah, bujang, peniaga kecil dan juga syarikat-syarikat yang terjejas. Apa kata korang manfaatkan dulu bantuan kerajaan yang korang layak untuk memohon dan jadikan pengeluaran KWSP menerusi program i-Sinar ini sebagai pilihan terakhir. Ini memang duit korang, tapi duit untuk persaraan, bukan untuk hari ini.

Tapi, jangan salah anggap, tiada langsung niat untuk melarang korang keluarkan duit akaun 1 tu. Cuma, jika tiada keperluan adalah lebih baik korang biarkan duit dalam akaun 1 tu terus bertambah untuk korang ‘tuai’ bila sampai waktunya nanti.

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)