Siakap Keli
Gambar Via Kompas.com

Disambut Dengan Tangisan Ahli Keluarga, Jenazah Pembantu Rumah Syafiq Ahmad Tiba Di Indonesia

Jenazah pembantu rumah penyerang Harimau Malaya, Syafiq Ahmad dilaporkan telah selamat tiba di Jakarta pada Jumaat lalu.

Allahyarhamah Titik Sukamti, 46, antara tiga orang yang terkorban dalam kemalangan membabitkan kereta yang dipandu oleh Syafiq beberapa minggu lalu.

Menurut Kompas.com, jenazah SukamtiĀ  tiba di rumah pengebumian pada Jumaat lalu dan disambut dengan tangisan ahli keluarganya.

Sukamti didakwa ditemui dalam keadaan memeluk bayi Syafiq di dalam kereta.

“Maklumat yang kami terima adalah kereta itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Jasad Sukamti memeluk, memegang erat bayi Syafiq yang juga meninggal dunia dalam keajadian itu, ” kata kakak kepada Sukamti, Masrukin.

Jadi tulang belakang keluarga

Pemergian Sukamti pastinya meninggalkan kesan yang mendalam buat ahli keluarganya.

Wanita itu dipercayai telah bekerja sebagai pembantu rumah sejak 11 tahun lalu dan menjadi tulang belakang keluarga sejak dia bercerai dengan suaminya.

“Sukamti adalah seorang ibu yang sangat menyayangi anak-anaknya, setiap bulan dia rajin mengirim wang dan akan menghubungi keluarga.

“Rumahnya kini juga perlahan-lahan sudah diperbaiki, kasihan kedua anaknya, ditinggalkan di saat usia yang masih muda,” kata Masrukin.

Tambah Masrukin lagi, Sukamti juga merancang untuk pulang ke Indonesia pada bulan April nanti untuk menikahkan anaknya.

Rupanya Sukamti pulang lebih awal dalam keadaan tidak bernyawa.

Jenazah Sukamti dikebumikan di tanah perkuburan awam tempatan.

Sumber: Kompas.com

Sofea

There's always another side to every story