Siakap Keli
Gambar hiasan. (Kredit: Google)

Merokok Dilarang Dalam Pesawat, Tapi Kenapa Bekas Abu Rokok Disediakan? Ini Penjelasannya

Umum mengetahui bahawa merokok adalah salah satu perbuatan yang dilarang keras ketika menaiki pesawat. Namun, pasti ada yang tertanya-tanya akan kewujudan bekas abu rokok di dalam tandas pesawat. Jika merokok dilarang, apa fungsi bekas tersebut dan kenapa ia diletakkan juga di dalam pesawat?

Menurut ScienceABC, terdapat peraturan di Amerika Syarikat yang menjelaskan, “Tidak kira sama ada merokok dibenarkan di mana-mana tempat lain di dalam pesawat, tandas mesti mempunyai bekas abu rokok yang boleh ditanggalkan dan terletak jelas berhampiran atau pada setiap pintu masuk tandas.”

Kenapa ia menjadi sebahagian daripada peraturan?

Kongsi portal itu, sistem dalam pesawat dicipta untuk menyokong satu sama lain jika terdapat kegagalan dalam mana-mana bahagian. Hal ini bagi memastikan pesawat dapat terus terbang atau sekurang-kurangnya mendarat dengan selamat.

Sebagai contoh, pesawat boleh terus terbang walau mengalami kegagalan elektrikal mahupun kegagalan enjin.

Justeru, walaupun undang-undang melarang penumpang merokok di dalam pesawat, sebahagian individu akan tetap menyalakan rokok di dalam bilik air. Bekas abu rokok itu dipasang sebagai persiapan jika seseorang menyalakan rokok, ia boleh dibuang dengan selamat dalam bekas berkenaan.

Hal ini kerana terdapat kejadian di mana penumpang yang merokok membuang puntung yang masih berbara di dalam tisu tandas atau bekas linen ketika ketiadaan tempat sesuai untuk membuang puntung berkenaan.

“Keperluan bekas abu rokok pada atau berhampiran pintu tandas menyediakan tempat pembuangan yang sesuai untuk rokok, dengan itu memastikan ada tempat buangan bagi bahan itu jika ada pelanggaran polisi ‘dilarang merokok’.

“Pengalaman dan laporan lepas menunjukkan kemungkinan individu membuang bahan merokok di dalam tisu tandas atau bekas linen ketika tiada tempat sesuai dan selamat untuk membuang bahan tersebut, tindakan itu boleh menyebabkan kebakaran di dalam pesawat,” tulis Federal Aviation Administration (FAA) seperti ditulis ScienceABC.

Sumber: ScienceABC

Amira

Love yourself.