Siakap Keli
Gambar: Us Ebit Lew

“Lihat Wajah Mereka Sebak,” Ustaz Ebit Lew Turun JB Pula, Hadiahkan 100 Kerusi Roda Dan 1000 Pek KFC Buat ‘Frontliners’

Lelah menjalankan misi bantuan buat mangsa banjir di Pahang masih belum hilang, pendakwah dermawan, Ustaz Ebit Lew bergegas pula ke selatan tanah air untuk misi kemanusiaan di sana.

Menerusi satu hantaran di Facebook pagi ini, beliau bersama pasukannya berkesempatan menziarahi dua hospital awam di Johor Bahru bagi menyampaikan bantuan.

Tidak hanya sumbangan berupa fasiliti perubatan, malah kata-kata semangat serta sokongan moral juga turut disalurkannya.

“Saya hadiahkan 100 buah kerusi roda dan 1,000 pek KFC untuk kakitangan bertugas di Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Permai di Johor Bahru.

“Masa sampai dah ramai menunggu. Beri sedikit kata semangat dan doa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Jelas beliau, beban dan tanggungjawab yang menimpa para petugas kesihatan kini sangat-sangat menguji.

Gambar: Ustaz Ebit Lew

Melalui pemerhatiannya sewaktu menyampaikan tazkirah, jelas terpampang di riak wajah mereka 1001 perasaan yang tidak terungkap.

“Masa beri nasihat, lihat wajah mereka sebak. Kasihan melihat kepenatan mereka.

“Mereka bekerja siang malam. Dah setahun kerja mereka bertambah-tambah daripada biasa.

“Pasti diberi ganjaran besar di akhirat. Semoga menjadi asbab kebaikan,” tambahnya.

Semalam, Ustaz Ebit Lew tampil menabur bakti menghulurkan bantuan buat mangsa-mangsa banjir di beberapa kawasan terjejas di Pahang.

Antara detik yang paling dramatik adalah ketika beliau diminta tolong oleh sekumpulan pihak untuk membantu membawa seorang warga emas bagi mendapatkan rawatan untuknya.

Dengan penuh sifat kasih sayang, Ustaz Ebit sanggup meredah banjir sambil mengangkat dan mendukung seorang ‘makcik’ yang mengalami sakit tua serta parkinson ke dalam kereta untuk dihantar ke hospital.

Sumber: Ustaz Ebit Lew

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'