Siakap Keli

Perlindungan Daripada Influenza Semasa Pandemik Covid-19

Menghidap batuk, demam dan sakit badan? Anda mungkin tertanya-tanya sama ada anda menghidap COVID-19 atau influenza. Namun, anda dan doktor tidak akan dapat membezakannya melainkan ujian untuk kedua-dua penyakit berjangkit tersebut dijalankan.

Anda mungkin berasa lega apabila doktor mengesahkan bahawa anda tidak menghidap COVID-19. Namun sebaliknya, anda pasti terkejut jika didapati menderita serangan influenza yang teruk.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal program Immunise4Life, Professor Datuk Dr. Zulkifli Ismail berkata: “Atas sebab keselamatan, semua orang berasa khuatir akan COVID-19. Namun, kita tidak boleh melupakan penyakit flu.

“Dalam kes-kes tertentu, influenza boleh menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa (seperti pneumonia dan kegagalan organ). Ia juga boleh memburukkan lagi keadaan pesakit kronik seperti mereka yang mempunyai penyakit jantung, asma dan diabetes.

Sesiapa sahaja boleh dijangkiti flu. Namun, sesetengah individu mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat flu yang parah serta komplikasi flu. Individu ini termasuklah individu yang menghidap penyakit kronik (penyakit jantung, tekanan darah tinggi atau diabetes), individu yang kurang daya tahan jangkitan (immunocompromised), wanita hamil, kanak-kanak berumur di bawah 5 tahun atau individu berumur 60 tahun dan ke atas.

Nasihat pakar pediatrik dan kardiologi pediatrik itu, “Individu-individu ini disarankan untuk mendapatkan vaksinasi influenza setiap tahun. Ianya merupakan instrumen terbaik bagi mencegah penyakit dan komplikasi parah akibat flu. Pengambilan vaksin flu bukan sahaja dapat mengelakkan tekanan akibat perlu dimasukkan ke hospital kerana flu, malah boleh mengelakkan daripada menggunakan sumber perubatan yang diperlukan bagi pesakit COVID-19 dan pesakit lain ketika pandemik.

Tambah beliau lagi: “Mereka yang muda dan sihat juga akan mendapat manfaat apabila mendapatkan vaksinasi flu secara tahunan. Ianya akan mengurangkan risiko untuk dijangkiti dan membolehkan mereka untuk terus bekerja, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang sukar kini.

“Walaupun anda merasakan bahawa anda tidak akan jatuh sakit akibat influenza, anda perlu mendapatkan vaksin flu supaya anda tidak dijangkiti dan menyebarkan penyakit tersebut kepada orang tersayang yang berisiko tinggi, seperti kanak-kanak dan ibu bapa yang sudah meningkat usia.”

“Anda juga boleh menghidap penyakit influenza dan COVID-19 secara serentak,” menurut Profesor Dr. Zamberi Sekawi, Pengerusi Malaysian Influenza Working Group.

Pakar mikrobiologi klinikal itu berkata, “Oleh sebab kes influenza di negara kita biasanya meningkat pada hujung tahun hingga ke beberapa bulan pertama tahun berikutnya, terdapat kebimbangan bahawa Malaysia mungkin menghadapi pertembungan penyakit COVID-19 dan influenza. ”

“Menghidap salah satu daripadanya pun sudah dianggap teruk, apatah lagi kedua-duanya, serentak. Sebab itulah sebelum lonjakan bilangan pesakit di hospital berlaku, penting bagi semua untuk mendapatkan vaksin terhadap influenza. Terutama sekali golongan yang berisiko tinggi, kerana ia boleh melindungi mereka daripada salah satu penyakit tersebut.”

Profesor Dr. Zamberi Sekawi menasihati orang ramai untuk mendapatkan vaksin influenza setiap tahun. Dia menjelaskan lagi, “Vaksin influenza perlu dikemaskini setiap tahun supaya ia lebih efektif dalam memerangi strain virus tersebut.”

Dia menjamin orang ramai bahawa vaksin influenza yang terdapat di Malaysia, telah diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan selamat untuk digunakan. “Pengambilan vaksin influenza terbukti selamat dan boleh digunakan untuk semua peringkat umur. Seperti kebanyakan ubat dan vaksin lain, vaksin influenza mungkin ada beberapa kesan sampingan. Namun, ia tidaklah teruk dan biasanya akan hilang dalam beberapa hari. Contoh kesan sampingan yang biasa berlaku termasuklah demam ringan, bengkak atau kemerahan di tempat suntikan, sakit otot dan sakit kepala. ”

“Menyedari betapa selamatnya vaksin influenza, kebanyakan kerajaan di seluruh dunia menawarkan vaksin tersebut secara percuma di bawah program imunisasi kebangsaan mereka, terutamanya kepada warga emas.”

“Di Malaysia, KKM memberi vaksin influenza kepada pekerja kesihatan barisan hadapan serta pesakit dalam kumpulan berisiko tinggi seperti individu yang menghidap penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), diabetes dan penyakit jantung,” katanya.

Tahun hadapan, buat pertama kalinya, individu yang mengambil vaksin influenza untuk diri sendiri, pasangan dan/atau anak-anak, layak mendapat pelepasan cukai. Perbelanjaan mendapatkan vaksin juga lebih rendah berbanding kos, serta masa yang terbuang sekiranya diri anda atau orang tersayang dimasukkan ke hospital akibat komplikasi influenza, lebih-lebih lagi bagi warga emas dan golongan yang berisiko tinggi menghidap influenza yang teruk.

Walaupun tiada jaminan 100% untuk anda tidak dijangkiti influenza setelah mendapat suntikan vaksin, gejala yang anda alami adalah lebih ringan berbanding individu yang langsung tidak mendapatkan vaksin.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, lebih 360,000 orang telah meyokong kempen ikrar ‘Cegah Flu, Norma Baharu’. Kepada mereka yang telah menyokong, dan sesiapa yang risau akan kemungkinan untuk dijangkiti flu, sekarang merupakan masa yang baik untuk membuat temujanji bagi mendapatkan vaksinasi flu, tidak kira sama ada untuk pertama kali atau mendapatkan vaksinasi tahunan.

Kadar pengambilan vaksin influenza di negara ini telah menurun sejak bulan Mac lalu. Hal ini mungkin disebabkan oleh ketakutan dijangkiti penyakit COVID-19 di klinik atau hospital, dan/atau kerana pergerakan yang terhad akibat perlaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP). Namun, peluang untuk melindungi diri dan keluarga anda daripada penyakit yang boleh dicegah oleh vaksin tidak seharusnya diabaikan. Tunjukkanlah kepada orang tersayang bahawa anda mementingkan kesihatan mereka dengan membantu mereka dan diri anda daripada terkena penyakit influenza.

‘Cegah Flu, Norma Baharu’ merupakan fokus tahun 2020 bagi kempen ‘Pencegahan Flu, Pengikat Kasih Sejati’, yang dianjurkan oleh program Imunise4Life dengan Kerjasama Malaysian Influenza Working Group dan disokong oleh inisiatif Vaccination Is Protection.

Kempen ikar ini telah melibatkan pelbagai pakar perubatan, selebriti media sosial dan artis. Mereka menyokong kempen ini dengan menjalani temu bual bersama media dan artikel, mesej perkhidmatan awam yang berimpak tinggi, video yang berinspirasi, dan konsert atas talian.

Kempen ini juga mendapat sokongan daripada pelbagai kumpulan, termasuklah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Rotary Club District 3300, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Tadika Malaysia (PTM), Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM), Majlis Kebangsaan Persatuan-Persatuan Warga Emas Malaysia (NACSCOM), University of the Third Age (U3A) dan Persatuan Pengendali Jagaan Berkediaman Warga Emas SeMalaysia (AgeCope).

Kempen ‘Pencegahan Flu, Pengikat Kasih Sejati’ dilancarkan pada tahun 2019 oleh Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali dan kekal sebagai kempen pencegahan influenza yang terbesar di Malaysia sejak tahun 2009, semasa wabak influenza A (H1N1) melanda dunia. Lebih banyak aktiviti sedang dirancang untuk menggalakkan masyarakat supaya mengambil peranan aktif dalam perlindungan keluarga dan komuniti daripada jangkitan influenza. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang kempen ini, sila layari www.actoflove.ifl.my.

Program Immunise4Life ditubuhkan pada tahun 2013 oleh KKM, Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) dan Persatuan Penyakit Berjangkit & Kemoterapi Malaysia (MSIDC).

Untuk maklumat lebih lanjut, sila hantar e-mel kepada Sekretariat Immunise4Life di [email protected] atau hubungi:
Cik Natasya Nadzmi (+6019 393 8863); Cik Prahashini Galadaran (+6016 962 7114)