Siakap Keli
Kredit: U.R.A Photography

Viral Foto-foto Jalan Di Wang Kelian Di Perlis, Persis Litar Bengkang-bengkok Gunung Haruna Dalam Anime Initial-D

Baru-baru ini tular di media sosial beberapa foto yang memukau pandangan warganet. Bukit-bukau, hutan yang masih terpelihara dan jalan berselekoh.

Malah keadaan jalan raya yang bengkang-bengkok itu seakan-akan dilihat sebagai litar perlumbaan dalam siri animasi perlumbaan Jepun, Initial-D.

Namun gambar-gambar tular itu bukanlah dirakam di Jepun, Switzerland mahupun Slovakia, tapi sebenarnya terletak di negeri paling ‘tenang’ di Malaysia, iaitu Perlis.

Difahamkan foto tersebut dirakam oleh jurugambar profesional U.R.A Photography lalu dikongsikan semula oleh laman Facebook Oh My Perlis sebelum tular hingga menarik perhatian warganet.

Mari kita hayati pemandangan di bawah ini.

Gambar: U.R.A Photography
Gambar: U.R.A Photography
Gambar: U.R.A Photography
Gambar: U.R.A Photography

5 perkara anda kena tahu tentang Wang Kelian

Orang kata, tak kenal maka tak cinta. Alang-alang kita sudah ‘sampai’ ke puncak Wang Kelian ini, apa kata kita ketahui juga lima perkara menarik tentang kawasan ini.

1. Sempadan Thailand

Wang Kelian terletak betul-betul di sempadan Malaysia – Thailand. Apabila melepasi sahaja pintu sempadan imigresen, maka kita akan menjejaki wilayah Satun.

Jangan tidak tahu, Satun dulu merupakan wilayah di bawah pemerintahan Kerajaan Melayu Kedah Tua yang mana ketika itu dinamakan sebagai Setul, sebelum diserahkan kepada kerajaan Siam di bawah perjanjian ‘rahsia’ Siam – British pada 1909.

2. Syurga beli-belah

Satu ketika dahulu, Wang Kelian adalah syurga membeli-belah bagi rakyat Malaysia yang gemarkan barangan dari Thailand. Periuk belanga, kuali, barangan besi, makanan dan pinggan mangkuk asli buatan Thailand, semuanya boleh didapati di sini dengan harga yang sangat murah.

Di kawasan jirannya di sebelah Thailand, Wang Kelian bersempadan dengan Wang Prachan. Keadaannya juga masih sama, Wang Prachan juga merupakan pekan kecil yang menempatkan pusat jualan barangan murah sama seperti Wang Kelian.

Suasana pekan Wang Kelian dulu-dulu | Kredit: Libur

3. Alam semulajadi yang memukau

Jika melalui jalan raya yang dibina di sekitar ini menuju ke pintu sempadan, kita akan ‘disajikan’ dengan pemandangan indah bukit-bukau serta hutan yang masih segar menghijau.

Perlis pula kaya dengan kewujudan bukit-bukit batu kapur yang masih kekal terpelihara tanpa sebarang ancaman pembangunan. Ada satu papan tanda besar dibangunkan di sana, memaparkan slogan ringkas ‘Perlis, indah lagi mempersona’.

4. Gempar penemuan tulang rangka mayat

Jangan tidak tahu, Wang Kelian pernah digemparkan dengan penemuan 106 rangka manusia yang didakwa melibatkan kegiatan jenayah sindiket pemerdagangan orang dipercayai etnik Rohingya pada 2015 lalu.

5. Pekan yang mati

Walaupun pernah menjadi tumpuan pelancong sebagai syurga beli-belah, namun semua itu sudah tinggal sejarah. Pemansuhan status wilayah sebagai Zon Aliran Bebas antara Malaysia dan Thailand oleh kerajaan pada 2015 lalu telah melenyapkan ‘populariti’ Wang Kelian.

Kini kawasan itu sudah menjadi pekan yang mati. Bangunan lot kedai yang dahulunya meriah, kini sudah usang dan sepi menjadi tinggalan manusia.

Suasana pekan Wang Kelian kini | Kredit: Libur

Sumber: U.R.A Photography melalui Oh My Perlis / Libur

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'