Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Litar Rasa MADANI: Usahawan Tempatan Raih Jualan Lebih RM555,000 Dalam Masa 3 Hari Semasa F1 - KUSKOP

Usahawan Raih RM555,000 Semasa F1
Kredit: KUSKOP

Program keusahawanan Litar Rasa MADANI sempena Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mencatat kejayaan luar biasa selepas merekodkan jumlah keseluruhan jualan sebanyak RM555,350.

Menerusi satu kenyataan, penganjurnya, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berkata sepanjang tiga hari acara berprestij itu, seramai 19,000 pengunjung hadir memberi sokongan kepada 40 usahawan mikro.

“Sepanjang tiga hari penganjuran, seramai 19,000 pengunjung telah hadir memberi sokongan kepada 40 usahawan mikro yang menawarkan pelbagai sajian cita rasa Malaysia.

“Lebih membanggakan, jumlah keseluruhan jualan mencecah RM555,350,” katanya.

Usahawan Raih Lebih RM555,000 Semasa F1

Pencapaian itu sekali gus melepasi sasaran awal jualan sebanyak RM500,000 bagi tempoh tiga hari, dengan kadar pencapaian 111.07 peratus.

Menurut KUSKOP, jumlah jualan turut meningkat setiap hari sepanjang tempoh berkenaan, bermula dengan RM68,571 pada hari pertama dengan 2,000 pengunjung.

Jumlah itu kemudian meningkat kepada RM175,364 pada hari kedua dengan 7,000 pengunjung sebelum melonjak kepada RM311,415 pada hari ketiga dengan 10,000 pengunjung.

Susulan pencapaian ini, KUSKOP meluahkan rasa syukur disamping turut mengucapkan terima kasih kepada pengunjung yang datang dan memberi sokongan kepada usahawan tempatan.

“Terima kasih kepada semua yang singgah, membeli, menikmati sajian dan paling penting menyokong usahawan lokal kita,” ujarnya.

Intipati
  • Litar Rasa MADANI mencatat jualan keseluruhan RM555,350 sepanjang tiga hari penganjuran.
  • KUSKOP berkata pencapaian itu melepasi sasaran awal RM500,000 dengan kadar 111.07 peratus.
  • Seramai 19,000 pengunjung hadir menyokong 40 usahawan mikro yang menawarkan sajian Malaysia.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan