Siakap Keli

Netizen Puji Khairul Aming Sudi Kongsi Kelemahan Hasil Post Mortem Jual 10k Botol Sambal, Boleh Bantu Orang Baru Nak Belajar Berniaga

Tukang masak berpengaruh (influencer) yang begitu sinonim dengan ayat “Hey what’s up guys,”, Khairul Aming baru-baru ini melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menjual 10,000 botol sambal penyet hasil air tangannya hanya dalam masa 54 minit.

Menyentuh jualan 10,000 botol sambal tersebut, walaupun Khairul mampu mendapat pulangan yang sangat berlipat ganda dalam masa singkat, namun bukan itu yang difokuskannya.

Semalam, Khairul menerusi bebenang di Twitter dengan ‘beraninya’ mendedahkan hasil ‘bedah siasat’ (post mortem) tentang kekurangan-kekurangan yang dihadapi di sebalik jualan besar-besaran tersebut.

Mungkin ada sesetengah penjual lain, ‘post mortem’ sebegini adalah perkara sulit yang langsung tidak boleh didedahkan kepada umum kerana bimbang akan menjatuhkan reputasi syarikat.

Tapi tidak bagi Khairul, dia sebaliknya sangat terbuka untuk sudi berkongsi kelemahan agar boleh dijadikan panduan serta pengajaran buat semua. Mari ikuti bebenang di bawah ini.

Jelas Khairul, kesesakan akan mula berlaku apabila stok yang diuruskan terlalu banyak dalam satu-satu masa.

Tambahan pula, pihak pengurusan yang menguruskan pembelian didakwa belum cukup ‘mahir’ dengan sistem yang dijalankan di syarikat e-Dagang, Shopee.

Selain itu, faktor masa juga memainkan peranan kerana perlu bersaing dengan waktu di samping menjaga kualiti pembungkusan produk.

Dalam pada itu, walaupun dimasak secara ‘manual’ itu lebih terjamin keasliannya, namun Khairul juga mengakui bahawa dia memerlukan alat bantuan mesin bagi memudahkan proses pembuatan.

Faktor keluasan tempat pengurusan stok juga menjadi perkara penting.

Di sebalik ‘kesibukan’ menjual berpuluh ribu botol, ada juga pihak tidak dikenali didakwa tidak bertanggungjawab membuat urusan pembelian bukan di saluran yang betul.

Khairul juga bersedia untuk mengemas kini semula jadual pengurusan produk agar lebih efisien.

Jelasnya, dia bersedia berbuat demikian agar pengedaran produk kepada pembeli akan berjalan dengan teratur, di samping mampu menjamin keyakinan mereka tentang tempoh sambal tiba di tangan.

Dalam pada itu, Khairul menjelaskan bahawa dia begitu menjaga dua perkara penting dalam penjualan ini.

Mungkin bagi peniaga lain, ‘rating’ di Shopee agak sulit untuk didedahkan kerana ia adalah ‘simbol’ tahap kepuasan pelanggan. Namun bagi Khairul, dia tidak lokek untuk berkongsi tentangnya.

Seperkara lagi, Khairul juga berkongsi terdapat beberapa rungutan daripada pihak pelanggan tentang limitasi bilangan produk.

Namun dia mengakui bahawa limitasi produk yang dihadkan adalah mengikut keupayaannya, dalam masa sama tidak mahu menjejaskan kualiti apabila ‘quantity over quality’.

Akhir kalam, Khairul mengucapkan jutaan terima kasih kepada pembeli kerana meletakkan kepercayaan yang tinggi akan produk air tangannya itu.

Dia juga sedia menerima sebarang maklum balas daripada mana-mana pembeli untuk memperbaiki kualiti produk sambalnya dari semasa ke semasa.

Ramai warganet ‘terharu’, Khairul berlaku ‘jujur’

‘Terharu’ dengan kejujuran Khairul dalam mendedahkan kelemahan, ramai warganet menzahirkan rasa bangga terhadap figura masakan ini.

Mana tidaknya, kalau orang lain mesti bimbang untuk dedahkan kesilapan sebab takut jejaskan reputasi, tapi Khairul pula bertindak sebaliknya dengan niat yang positif.

Rata-rata mereka sangat berasa senang dengan keterbukaan Khairul berkongsi kelemahan sendiri sebagai pengajaran.

Tidak kurang juga, ada pihak yang sedia membantu Khairul untuk memperbaiki jualan akan datang.

Sumber: Khairul Aming

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'