Siakap Keli

“Sekali Adik Tunjuk Dekat-dekat, Nampak Jelas Ada Kepala”, Wanita Terkejut, Ulat Muncul Tiba-tiba Dalam Serbuk Kari Yang Dah Lama Dibuka

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Baru-baru ini kecoh di group Facebook Masak Apa Tak Jadi Hari Ini Official (MATJHN) tentang isu ulat muncul dalam masakan.

Sebelum ini kes ini dikongsikan oleh salah seorang warga group tersebut, dia mendakwa ulat-ulat itu dipercayai membiak dalam serbuk rempah yang disimpan.

Perkongsian berkenaan mendapat pelbagai maklum balas daripada warga MATJHN yang lain, rata-rata terkejut dengan apa yang dialaminya.

Dalam pada itu, kes yang serupa berlaku lagi sekali, kali ini melibatkan seorang wanita bernama Siti Hajar Suliman.

Dia berkongsi pengalamannya pula sebagai langkah kesedaran awam untuk kita semua. Jom baca perkongsiannya ini.

Gambar: Siti Hajar Suliman

Masak dah jadi. Makan tak jadi.

Hati-hati ya semua. Post ni sekadar nak suruh semua lebih berhati-hati apabila memasak. Check betul-betul.

Sedih sangat-sangat. Haritu baca pasal sis kita post. Masak kari ada ulat. Dalam ruangan komen, ramai yang kecam tukang post tu. Cakap ayam busuk la, bawang busuk la. Saya perhati je. Tak komen tak apa pun.

Nak jadi cerita, harini baru nak jejak dapur sebab dah habis pantang. Teringin nak masak untuk keluarga. Ayam seekor.

Dah siap masak tapi karinya cair sebab santan terlebih. Jadi, saya pun tumis sikit lagi. Betul-betul tumis serbuk kari dengan minyak saja di kuali lain.

Cadangnya, lepas tu nak letak dalam periuk yang berisi kari dah siap tu. Kebetulan anak menangis. Jadi, adik saya tolong jagakan lauk tengah tumis atas dapur tu.

Tiba-tiba adik menjerit.

“Along, ada ulat.”

Mula-mula saya menafikan. Saya cakap agaknya bukan la tu. Sekali adik tunjuk dekat-dekat. Nampak jelas ada kepala. Alahai….geramnya rasa.

Fuh. Down sangat-sangat rasa. Kami berdua gigih check kot la ada ulat pada minyak. Tak ada. Kami tengok pula serbuk kari. Betul. Memang kalau tengok dengan mata kasar, tak nampak ulat tu dalam serbuk tu.

Serbuk pun tarikh luputnya bulan 5 nanti. Belum expired lagi. Kena masak lama baru nampak timbul ulatnya. Allah. Meremang rasa.

Lepas ni, memang berbulan la kot tak makan kari. Macam fobia.

Info tambahan

1. Maaf kepada yang persoalkan kenapa tak reply. Saya ada baby dan baru lepas habis berpantang. Baby tidur baru boleh tengok telefon.

2. Kenapa saya tak dedahkan brand? Brand tak salah.

Kerana saya akui saya dah lama tak masuk dapur. Sejak bersalin. Ni pun sebab dah habis berpantang. Betul. Saya memang mengaku saya dah bukak lama. Hari ni excited nak masak. Walhal, sebelum masak dah check betul-betul serbuk kari tu sebab teringat post kakak tu sebelum ni.

Memang tak nampak ulat menggeletik sekor-sekor tu. Memang tak ada. Even saya dah bancuh siap-siap dengan air panas pun tak ada nampak ulatnya. Lepas dah masak lama atas dapur baru nampak. Jangan persoalkan ada lalat berak sebab memang tak tinggal dapur langsung.

Memang jaga. Lepas saya jaga, adik pula jaga. Jadi, mungkin kesilapan saya tak simpan serbuk kari dalam peti ais. Hanya ikat dengan getah, letak di luar.

Saya anggap ini pengajaran buat saya dan kawan-kawan supaya simpan serbuk-serbuk berkaitan dalam peti sejuk untuk mengelakkan daripada rosak dan kena bubuk atau ulat.

3. Kenapa saya post benda ni?

Kerana nak like? Allah…langsung tak terfikir. Saya cuma nak bagitahu apa yang kakak sebelum ni post dalam group ni, mengenai kari ada ulat itu benar-benar terjadi. Sebab saya baca komen-komen di post kakak tu, memang ramai yang perlekehkan dia. Kesian dia.

Sekianlah penjelasan lanjut mengenai post ini.

Ada juga orang lain yang terkena

Sementara itu, beberapa warganet lain turut terkejut akan pengalaman yang dilalui Puan Siti Hajar ini.

Justeru mereka pun berkongsi apa yang pernah mereka alami, selain turut memberi cadangan langkah-langkah selamat yang boleh diambil.

Ada yang mencadangkan agar rempah tersebut dipindahkan  ke bekas yang lain dan melabelkannya.

Ada juga yang menyimpan segala jenis serbuk rempah atau bahan masakan lain ke dalam peti sejuk.

Ulat-ulat yang hidup dalam serbuk rempah itu agak sukar dilihat. Biasanya ketika lauk dimasak itulah mereka ‘muncul’.

Simpan sahaja dalam peti. InsyaAllah lebih terjamin selamat.

Sumber: Siti Hajar Suliman melalui MATJHN

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'