Siakap Keli
Gambar Via ABC

Kilang Pengeluar Vaksin Terbesar Di Dunia Dilapor Terbakar, Sekurang-kurangnya 5 Maut

Kejadian kebakaran dilaporkan telah berlaku di lokasi pengeluar vaksin terbesar di dunia di barat India.

Menurut BBC, kebakaran itu bermula di sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan di Serum Institute di Pune semalam.

Satu rakaman menunjukkan kepulan asap tebal dari sebuah bangunan.

Bagaimanapun, syarikat itu mengatakan bahawa pengeluaran vaksin tidak akan terjejas dan punca kebakaran itu juga belum dapat dikenal pasti.

Kebakaran tersebut juga dapat dikawal namun lima orang disahkan telah terkorban dalam kejadian itu.

Gambar Via ABC

“Kami telah menerima khabar yang menyedihkan, terdapat beberapa orang yang telah kehilangan nyawa dalam kejadian ini,” kata CEO Serum Institute itu, Adar Poonawalla.

Tambahnya lagi, kejadian itu tidak akan memberi impak kepada pengeluaran vaksin Oxford-AstraZeneca yang dikenali sebagai Covishield.

Covishield adalah salah satu daripada dua vaksin yang diluluskan oleh kerajaan India untuk digunakan dalam program inokulasi yang bermula minggu lalu dan merupakan yang terbesar di dunia, lapor BBC.

Banyak negara yang berpendapatan rendah dan sederhana lain juga bergantung kepada Serum Institute bagi pengeluaran vaksin Oxford-AstraZeneca.

Sumber: BBC

Sofea

There's always another side to every story