Kebanyakan di surau atau masjid diletakkan papan tanda iaitu tidak dibenarkan membawa kasut atau selipar ketika masuk di dalam masjid. Ini kerana kasut atau selipar yang dibawa masuk akan mengotorkan masjid dan tidak sah untuk solat.
Namun, bagaimana pula mereka yang solat ketika berada di luar masjid atau surau? Sah ke solat jika memakai kasut atau selipar? Ramai yang musykil tentang perkara ini dan menganggap ianya satu hal yang mudah.
Seseorang individu yang menunaikan solat perlu berada dalam keadaan bersih dan sempurna. Begitu juga dengan keadaan kasut atau selipar kita dalam keadaan kotor, adakah sah solat? sudah tentu tidak. Oleh itu, untuk menyelesaikan perkara yang musykil ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan menerangkan hukum memakai kasut ketika menunaikan solat.
Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Bolehkah memakai kasut ketika solat?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kasut ditakrifkan sebagai alas kaki seperti sepatu, selipar, dan lain-lain.
Di dalam sebuah hadis daripada Syaddad bin Aus R.A, Nabi SAW bersabda:
خَالِفُوا الْيَهُودَ فَإِنَّهُمْ لاَ يُصَلُّونَ فِي نِعَالِهِمْ ، وَلاَ خِفَافِهِمْ
Maksudnya: “Berbezalah dengan orang Yahudi. Sesungguhnya mereka tidak bersolat sambil memakai kasut atau khuf.”
Riwayat Abu Daud (652)
Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir berkata: Sesungguhnya mereka tidak solat dalam keadaan memakai selipar, maka solatlah kamu jika sekiranya bersih tanpa najis. Diambil dengan zahirnya bahawa sebahagian ulama salaf berkata, sesiapa yang terkena najis pada seliparnya dan apabila bertempuh dengan tanah atau bumi, maka jadilah ia suci dan harus solat padanya. Inilah qaul qadim bagi Imam Syafie manakala qaul jadid menyalahinya. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/431)
Imam Badruddin al-`Aini dalam ‘Umdah al-Qari menyebut: “Maka jadilah ia sunat dari segi qasad untuk mukhalafah (menyelisihi) perbuatan orang Yahudi dan bukanlah sunnah. Ini kerana, solat dengan bersepatu atau memakai selipar bukanlah mempunyai maksud itu sahaja.” (Lihat ‘Umdah al-Qari, 4/119)
Syeikh Syams al-Haq al-‘Azim Abadi dalam ‘Aun al-Ma’bud menyebut: Hadis ini sekurang-kurangnya menunjukkan hukumnya sunat. Begitu juga hadis Abi Said al-Khudri dan beberapa hadis yang lain yang menunjukkan sunat solat dengan bersepatu. Istidlal dengan tidak harus pula adalah berdasarkan hadis Amru bin Syu’aib daripada bapanya, daripada datuknya dan hadis daripada Abi Hurairah….Justeru, Abd al-Rahman bin Abi Laila pernah berkata: Rasulullah SAW telah solat dengan dua sepatunya. Maka orang ramai pun bersolat dengan sepatu masing-masing. Kemudian Baginda menanggalkannya, dan orang ramai pun menanggalkannya. Maka sesiapa yang mahu untuk solat dengan dua sepatunya, maka solatlah dan siapa yang mahu menanggalkannya, maka tanggalkanlah.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 2/354)
Walaubagaimanapun, kasut yang dipakai tersebut hendaklah bersih dan suci daripada najis. Nabi SAW bersabda:
إِذَا جَاءَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْمَسْجِدِ فَلْيَنْظُرْ : فَإِنْ رَأَى فِي نَعْلَيْهِ قَذَرًا أَوْ أَذًى فَلْيَمْسَحْهُ وَلْيُصَلِّ فِيهِمَا
Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu datang ke masjid, maka lihatlah jika ada kotoran atau najis pada kasutnya. Jika ada, maka hendaklah disapunya (dibersihkannya) dan dibolehkan bersolat dengan memakai kasut itu.”
Riwayat Abu Daud (650) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3889)
Ibn Ruslan berkata: Perkataan ‘الْأَذَى’ pada bahasa iaitu yang keji dan kotor sama ada ia bersih atau najis. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 3/72)
Disebut dalam kitab Subul al-Salam: Hadis tersebut menunjukkan pensyariatan solat dengan memakai selipar atau sepatu. Begitu juga sapuan selipar atau sepatu pada tanah boleh menyucikannya daripada kotoran. Dan yang zahir pada kedua-duanya adalah dengan maksud najis, sama ada najis bersifat basah atau kering. (Lihat Subul al-Salam, 1/137)
Kesimpulan
Berdasarkan kepada persoalan dan penelitian dalil yang diberikan dapat disimpulkan bahawa tidak memakai kasut adalah lebih digalakkan ketika menunaikan solat. Perkara ini sama juga dengan seseorang yang hendak masuk ke dalam rumah perlu tanggalkan kasut untuk mengelakkan rumah daripada kotor.
Walaubagaimanapun, Nabi Muhammad SAW juga tidak melarang penggunaan kasut ketika solat. Jika dapati kasut terkena najis atau sebaliknya perlu dibersihkan dan boleh teruskan solat dengan memakai kasut.
Sehubungan dengan itu, jika anda berasa was-was atau ragu-ragu adakah kasut anda bersih atau tidak, sebaliknya tanggalkan dan solat seperti biasa. Sesungguhnya islam itu memudahkan.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan