Siakap Keli

Tular Gajah Sesat Masuk Sekolah, PERHILITAN Selenggara Pagar Elektrik & Pasang LED Biru Untuk Takutkan Gajah

Baru-baru ini tular video seekor gajah liar yang berkeliaran dan tersesat masuk ke sebuah kawasan sekolah orang asli di Perak.

Kejadian yang dipercayai berlaku di Sekolah Kebangsaan RPS Khemar di Gerik, Perak itu mendapat perhatian ramai warganet.

Rata-rata warganet menzahirkan rasa kasihan dan hairan bagaimana haiwan liar tersebut boleh tersesat hingga ke situ.

Sehubungan itu, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia mengambil tindakan susulan menyelenggara kerosakan pada Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) yang dipasang di sekolah tersebut.

Gambar: PERHILITAN
Gambar: PERHILITAN

Dalam masa sama, tiga unit lampu LED biru untuk menakutkan gajah turut dipasang pada 21 Jan keesokan harinya.

“Perbincangan Jabatan PERHILITAN Negeri Perak bersama pihak sekolah dan wakil penduduk di lokasi kejadian yang terletak bersempadan dengan kawasan hutan telah dilakukan bagi bersama-sama menjaga pagar elektrik tersebut,” memetik kenyataan di Facebook PERHILITAN hari ini.

Perbincangan tentang usaha keselamatan tersebut dibuat demi keselamatan penduduk di kawasan itu, terutamanya golongan pelajar dan guru.

Orang ramai boleh melaporkan sebarang aduan dan maklumat berkaitan hidupan liar ke Jabatan PERHILITAN melalui talian hotline 1-800-88-5151.

Gambar: PERHILITAN
Gambar: PERHILITAN

Sumber: PERHILITAN

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'