Siakap Keli
Gambar Via Google

Tidak Ada Data Mengenai Tahap Keselamatan, Wanita Hamil Tak Digalakkan Ambil Vaksin COVID-19 Moderna- WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa vaksin COVID-19 Moderna tidak boleh digunakan ke atas wanita hamil ketika ini, lapor Daily Mail.

Belum ada ujian percubaan vaksin yang merangkumi wanita hamil dan mereka dijangka tidak akan mendapatkannya hingga selepas suku pertama 2021 yang bermaksud tidak ada data keselamatan.

“Penggunaan vaksin ini pada wanita hamil pada ketika ini tidak digalakkan kecuali jika mereka terdedah pada risiko yang tinggi (contohnya pekerja kesihatan),” kata WHO.

Dalam taklimat maya pada Selasa, pengarah imunisasi WHO, Kate O’Brien menekankan bahawa ujian klinikal vaksin Moderna diperlukan bagi wanita hamil.

Pun begitu, American College of Obstetrics and Gynecology dengan tegas menentang pengecualian wanita hamil dari ujian dan program vaksinasi.

Organsasi itu berkata bahawa wanita hamil perlu memilih sendiri sama ada mahu atau tidak diberikan vaksin dan diberitahu mengenai sebarang risiko.

Selain itu, WHO juga memaklumkan bahawa individu yang mempunyai sejarah alergik yang teruk terhadap komponen vaksin juga tidak boleh mengambil vaksin Moderna atau vaksin mRNA lain.

Di UK, Badan Pengawalseliaan produk Ubat-ubatan dan Kesihatan (MHRA) mengeluarkan garis panduan pada bulan lalu yang menjelaskan bahawa wanita hamil tidak boleh diinokulasi sehingga setelah mereka bersalin.

“Tiada bukti yang menunjukkan sebarang risiko bahaya  bila mereka menggunakan vaksin itu namun bukti tahap keselamatan vaksin itu juga masih tiada kerana wanita hamil dikecualikan dari ujian percubaan vaksin,” kata Dr Mary Ross Davie dari UK’s Royal College of Midwives.

Sumber: Daily Mail, WHO

Sofea

There's always another side to every story