Siakap Keli
Kredit gambar: BERNAMA

(Video) “Apa Sahaja Vaksin Diluluskan Seterusnya, Saya Orang Pertama Ambil…“- YB Khairy

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memaklumkan dirinya tidak akan mengambil dos vaksin Pfizer buat masa ini.

Sebaliknya, beliau mahu mengambil dos vaksin yang akan diluluskan seterusnya dan bakal menjadi orang pertama bagi vaksin tersebut.

“Saya sudah buat keputusan semalam, saya akan ambil vaksin yang akan diluluskan seterusnya. Apa sahaja vaksin yang akan diluluskan seterusya, saya orang pertama ambil.

“Kalau vaksin Sinovac, Sinovaclah. Kalau vaksin dari Russia, Russialah. Kalau daripada (vaksin) Astrazeneca, Astrazenecalah..saya tidak akan ambil vaksin Pfizer.

“Bukan sebab Pfizer tidak bagus. Pfizer bagus, selamat dan terbukti. Tapi biarlah ada juga daripada barisan menteri ini yang memberi contoh ambil vaksin yang akan datang,” katanya dalam sidang media perkembangan terkini ketibaan vaksin Sinovac di tanah air pagi ini.

Beliau berkata demikian bagi merungkai persoalan yang timbul daripada kalangan orang awam tentang pada waktu bilakah dirinya akan divaksinasi, di samping turut menjelaskan semula spekulasi berkenaan ‘vaksin Pfizer untuk pemimpin tapi vaksin lain-lain untuk rakyat biasa’.

Dalam pada itu tambah Khairy lagi, proses vaksinasi yang dijalankan terhadap beberapa individu penting termasuk perdana menteri sebelum ini telah menjadi bukti bahawa vaksin Pfizer itu diyakini selamat.

“Saya melihat perdana menteri kita, ketua pengarah kesihatan kita dan sekarang ini banyak menteri-menteri besar dan petugas barisan hadapan telah mula menerima vaksin Pfizer.

“Jadi rakyat sudah semakin yakin dengan Pfizer, sebab perdana menteri sudah ambil, menteri pertahanan sudah ambil dan tiada apa-apa kesan sampingan,” katanya lagi.

Sumber: BERNAMA TV

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'