Siakap Keli
Gambar: Musical Mag, Home Brew Audio

(Video) Kenapa Penyanyi Pakai ‘Earphone’ Semasa Persembahan, Ini Sebabnya Yang Ramai Tak Tahu

Pasti ramai diantara kita yang pernah perasan pemuzik dan penyanyi-penyanyi profesional memakai earphone ketika membuat persembahan.

Ianya pasti menimbulkan persoalan kepada kita tentang apakah yang mereka sedang dengar di dalam earphone tersebut.

Menurut satu YouTube Channel bernama VokalPlus ini, earphone yang dimaksudkan itu sebenarnya adalah ‘In-Ear Monitor’ (IEM).

Portal Cymatics menjelaskan bahawa IEM ini adalah peranti yang digunakan oleh pemuzik untuk mendengarkan muzik mereka semasa mereka memainkannya ketika melakukan persembahan.

Apabila anda melihat seorang penyanyi di atas pentas memakai sepasang alat yang kelihatan seperti earphone atau earbudĀ serta walkie-talkie di pinggang mereka, anda sebenarnya akan mendapati bahawa IEM sedang terpasang.

IEM ini terdiri daripada tiga komponen iaitu pemancar, penerima, dan sepasang fon telinga.

Pemancar diletakkan di sisi dan ianya berfungsi untuk menghantar audio persembahan ke penerima. Audio ini dikenali sebagai monitor mix.

Penerima biasanya dipakai pada bahagian pinggang, di mana alat pendengar lazimnya disambungkan.

Dengan menggunakan fungsi pembatalan bunyi, fon telinga dapat menyekat suara latar yang tidak diingini. Monitor mix kemudiannya dapat didengari melalui fon telinga dengan kualiti yang baik.

Biasanya alatan ini akan digunakan apabila seseorang artis itu membuat persembahan di tempat-tempat yang terbuka mahupun besar serta dipenuhi dengan orang ramai.

Secara amnya, alatan ini dapat memberikan fokus yang lebih kepada pemuzik serta penyanyi untuk mempersembahkan muzik dan nyanyian mereka secara lebih berkualiti dan terbaik kepada penonton.

Seperti yang diceritakan oleh ‘Youtuber’ ini, ketika persembahan dilakukan, kebanyakan ‘speaker’ akan menghadap penonton menyebabkan penyanyi atau pemain muzik sukar mendengar suara dan muzik yang dimainkan oleh mereka sendiri. Jadi, fungsi IEM ini salah satunya ialah untuk memberi pendengaran lebih jelas terhadap penyanyi dan pemain muzik. Supaya lebih jelas, tonton video tersebut agar dapat memahami fungsi IEM yang sering digunakan oleh penyanyi.

Sumber: VokalPlus, Cymatics

Aqmal Ezany

I write what is right