Rupa bercahaya yang kelihatan di langit malam baru-baru ini mengundang perhatian orang ramai semalam.
Bentuknya yang tidak biasa membuatkan ada yang menyifatkannya seperti “obor-obor angkasa”.
Dalam satu klip yang dikongsikan pengguna Threads marcogetzupaid memaparkan fenomena berkenaan.
“Saya tak sempat keluarkan telefon dengan cepat. Kami nampak ia menembusi atmosfera,” kongsinya.
NASA Jelaskan Bagaimana Ia Berlaku
Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) dalam satu kenyataan berkata fenomena itu sebenarnya bukan objek misteri.
Sebaliknya memberitahu ia berlaku susulan pelancaran misi bekalan komersial ke-35 NASA bersama SpaceX ke Stesen Angkasa Antarabangsa.
Kepulan Asap Roket Kelihatan Seperti Obor-Obor

Fenomena yang digelar “obor-obor angkasa” itu boleh berlaku berhampiran waktu matahari terbit atau terbenam.
Ketika itu, cahaya matahari menyinari kepulan asap ekzos yang keluar daripada roket.
Hasilnya, kepulan tersebut kelihatan terang dan membentuk rupa yang seakan-akan obor-obor di langit.

Sebab itu, pemandangan tersebut boleh kelihatan berbeza daripada kebiasaan, lebih-lebih lagi apabila disaksikan pada waktu malam.
“Kelihatan: pemandangan “obor-obor angkasa” selepas pelancaran misi bekalan komersial ke-35 NASA bersama SpaceX ke Stesen Angkasa Antarabangsa hari ini.

Fenomena “obor-obor angkasa” berlaku berhampiran waktu matahari terbit atau terbenam, apabila kepulan asap daripada roket disinari cahaya terang lalu menghasilkan bentuk bercahaya yang menyerupai obor-obor,” kata NASA.
Walaupun rupanya mungkin membuatkan sesetengah orang tertanya-tanya, fenomena itu sebenarnya kesan cahaya yang menyinari kepulan ekzos roket selepas pelancaran.
