Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Bumi Hilang Graviti Selama 7 Saat Pada Hari Ini? Ini Jawapan NASA

NASA
Kredit: NASA

Seperti umum ketahui, pelbagai peristiwa kosmik telah dikesan sejak ratusan tahun lalu. Hasil pemerhatian dan kajian yang dijalankan oleh ahli astronomi, kita dapat memahami kejadian-kejadian tersebut dengan terperinci.

Namun, tidak dapat dinafikan wujud juga pelbagai spekulasi atau teori konspirasi yang ditimbulkan oleh sesetengah pihak berkaitan kejadian alam semesta.

Termasuk dakwaan dan teori bahawa mengenai bumi yang akan kehilangan graviti selama tujuh saat pada 12 Ogos hari ini.

Jawapan NASA Berkait Dakwaan Bumi Hilang Graviti 7 Saat

"Jika anda pernah melihat dakwaan tersebut, tidak perlu bimbang. Tarikan graviti Bumi ditentukan oleh jisim Bumi itu sendiri, bukan oleh Bulan. Gerhana tidak memberi sebarang kesan terhadap graviti di Bumi mahupun di Bulan.

"Ketika gerhana matahari berlaku, Bulan tetap mengorbit seperti hari-hari biasa. Cuma pada ketika itu, Bulan berada pada titik tertentu dalam orbitnya yang sedikit condong sehingga melintasi antara Bumi dan Matahari," katanya dalam satu perkongsian di Threads.

Sebelum ini, dakwaan tersebut turut menyatakan bahawa Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) telah membangunkan "Project Anchor" bagi menangani kerosakan dahsyat disebabkan oleh kejadian kehilangan graviti itu.

Malah, dakwaan itu juga mengatakan bahawa ia berpotensi menyebabkan 40 juta kematian akibat 'terjatuh' dan NASA membelanjakan $89 bilion dalam usaha mengatasi kerosakan tersebut.

Bagaimanapun, berita tular itu tidak benar. Graviti bumi tidak akan hilang selama tujuh saat dan "Project Anchor" tidak wujud.

Kejadian besar yang sebenarnya akan berlaku pada 12 Ogos ialah gerhana matahari penuh.

Menurut laman semakan fakta terkenal, Snopes, seorang jurucakap NASA menyangkal khabar angin tersebut.

Menerusi e-mel yang dihantar kepada Snopes, beliau berkata bumi tidak akan kehilangan graviti pada tarikh tersebut.

Jelasnya lagi, graviti bumi atau daya graviti keseluruhan ditentukan oleh jisimnya.

Hanya gerhana matahari penuh akan berlaku

"Satu-satunya cara bumi boleh kehilangan graviti ialah jika sistem bumi iaitu gabungan jisim teras, mantel, kerak, lautan, air daratan dan atmosfera kehilangan jisim.

"Gerhana matahari penuh tidak memberi sebarang kesan luar biasa terhadap graviti bumi," kata NASA sebelum ini.

Tambahnya lagi, tarikan graviti matahari dan bulan di bumi tidak memberi kesan kepada graviti keseluruhan bumi. Tetapi, ia memberi kesan kepada daya pasang surut dan itu telah diketahui serta boleh diramal beberapa dekad lebih awal.

Sementara itu, gerhana matahari penuh berlaku ketika bulan bergerak di antara bumi dan matahari sehingga menutupi matahari sepenuhnya.

Laluan gerhana ini akan merentasi Lautan Artik, Greenland, Iceland, Lautan Atlantik, Portugal dan utara Sepanyol


Sumber:Threads
Intipati
  • NASA menafikan dakwaan Bumi akan kehilangan graviti selama tujuh saat pada 12 Ogos.
  • Agensi itu menjelaskan graviti Bumi ditentukan oleh jisimnya, bukan oleh gerhana.
  • Dakwaan mengenai “Project Anchor” dan 40 juta kematian turut disifatkan tidak benar.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan