Fenomena bulan penuh dikenali sebagai Beaver Supermoon dijangka menghiasi langit malam ini, 24 November, sekali gus memberi peluang kepada orang ramai menyaksikan penampilan Bulan yang kelihatan lebih besar dan terang berbanding kebiasaannya.
Fenomena itu merupakan bulan penuh super pertama dalam satu siri kemunculan supermoon berturut turut yang dijadualkan berlangsung sehingga awal tahun depan.

Menerusi perkongsian di Threads, pengguna akaun @izzraifharz_ menjelaskan nama Beaver Moon diberikan kepada bulan penuh yang muncul pada November, manakala istilah Supermoon merujuk kepada kedudukan Bulan yang berada pada jarak paling hampir dengan Bumi.
“Namanya Beaver Moon kerana bulan penuh pada November dikenali sebagai Beaver Moon. Namun, kali ini bulan penuh berlaku ketika fasa perigee, iaitu ketika Bulan berada paling hampir dengan Bumi atau dikenali sebagai Supermoon. Sebab itu ia dipanggil Beaver Supermoon.
“Bulan depan, pada Disember, akan ada satu lagi Supermoon yang dikenali sebagai Cold Supermoon. Ketika itu, Bulan dijangka berada lebih dekat dan kelihatan lebih terang. Tahun depan pula, kita akan menyaksikan empat bulan penuh super secara berturut turut,” kongsi pengguna itu.
Fenomena berkenaan turut menarik perhatian pengguna media sosial apabila ada yang berkongsi gambar serta suasana Beaver Supermoon dari lokasi masing masing.
Menerusi satu hantaran, pengguna akaun raytec berkongsi gambar fenomena tersebut yang dirakam sekitar pukul 7.30 malam dari Kulim, Kedah.
Malah, perkongsian itu turut disertakan dengan kapsyen berseloroh yang mengaitkan kecerahan bulan dengan harapan agar gaji bulan ini turut bersinar.

“Fenomena Beaver Supermoon malam ini, ketika Bulan paling terang, semoga gaji bulan ini pun turut terang.
“Keluar ambil gambar. Ini dirakam sekitar pukul 7.30 malam di Kulim, Kedah. Kongsikan juga gambar dari lokasi masing masing di seluruh Malaysia,” tulisnya.
Menurut laporan Agensi Berita Qazinform, fenomena Beaver Supermoon pada November ini akan muncul berhampiran gugusan bintang Pleiades yang terletak dalam buruj Taurus dan turut dikenali sebagai Seven Sisters.
Beaver Supermoon dijangka mencapai fasa penuhnya pada pukul 2.53 petang Waktu Universal Selaras (UTC) atau 10.53 malam waktu Malaysia pada 24 November.
Fenomena Supermoon berlaku apabila fasa bulan penuh bertepatan dengan kedudukan Bulan yang berada paling hampir dengan Bumi dalam orbitnya yang berbentuk elips.
Keadaan itu menyebabkan cakera Bulan berpotensi kelihatan lebih besar dan terang berbanding bulan penuh biasa.
Menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Supermoon boleh kelihatan sehingga 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih terang berbanding bulan penuh paling malap dalam setahun.

Mengapa Dinamakan Beaver Moon?
Nama Beaver Moon diberikan kepada bulan penuh yang muncul pada November berdasarkan tradisi masyarakat terdahulu di Amerika Utara.
Nama itu dikaitkan dengan aktiviti haiwan beaver yang giat membina serta mengukuhkan sarang dan mengumpulkan makanan sebagai persediaan menghadapi musim sejuk.
Justeru, nama Beaver Moon bukan bermaksud Bulan mempunyai bentuk atau rupa seperti haiwan berkenaan, sebaliknya merujuk kepada perubahan alam dan aktiviti haiwan mengikut musim.
Boleh Dilihat Dengan Mata Kasar
Menariknya, orang ramai tidak memerlukan teleskop atau teropong untuk menyaksikan Beaver Supermoon kerana fenomena itu boleh dilihat dengan mata kasar sekiranya keadaan cuaca mengizinkan.
Peminat astronomi turut disarankan memerhatikan Bulan sejurus selepas ia terbit, terutama ketika kedudukannya masih berhampiran ufuk.
Pada waktu tersebut, Bulan mungkin kelihatan lebih besar berbanding ketika berada tinggi di langit. Keadaan ini dikenali sebagai ilusi Bulan, iaitu kesan optik yang menyebabkan Bulan kelihatan lebih besar apabila berada berhampiran ufuk.
Bagaimanapun, cahaya terang daripada bulan penuh berkemungkinan menyukarkan orang ramai melihat gugusan bintang Pleiades dan Hyades yang berada berhampiran.
Penggunaan teropong boleh membantu memerhatikan gugusan bintang tersebut dengan lebih jelas.
Bakal Disusuli Satu Lagi Supermoon Pada Disember
Fenomena Beaver Supermoon ini dijangka disusuli kemunculan bulan penuh super seterusnya pada 24 Disember 2026.
Bulan penuh berkenaan dikenali sebagai Cold Supermoon dan dijangka menjadi antara Supermoon paling besar pada tahun ini.
Satu lagi fenomena bulan penuh super pula dijadualkan berlaku pada 22 Januari 2027.
Justeru, orang ramai berpeluang menikmati keindahan fenomena astronomi ini dengan hanya mencari kawasan yang mempunyai pandangan langit terbuka dan kurang terlindung oleh bangunan atau pokok.

