Siakap Keli

(Video) Abang Ni Ajar 4 Langkah Nak Salai Itik Ikut Cara Tradisional Guna Bahan-bahan Ini, Rasa Lebih Padu

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Kalau anda singgah ke Melaka melalui Plaza Tol Pedas, Negeri Sembilan, pasti ‘kehadiran’ anda akan disambut dengan asap salai dari warung-warung kampung di tepi-tepi jalan.

Antara menu masakan salai yang sering menjadi ‘buruan’ ramai di sana adalah itik salai, daging salai, ikan keli salai dan ayam salai. Biasanya dimakan bersama dengan kuah masak lemak cili padi. Memang ‘ummphh’ rasa dia.

Bercerita tentang itik salai, tahukah anda, sebenarnya ada satu teknik rahsia macam mana kita nak menyalai itik dengan sempurna agar rasanya betul-betul ‘piaw’.

Menerusi satu perkongsian oleh Mohd Haffiz Supai di group Facebook Suami Masak Apa Hari Ini (SMAHI), Haffiz ada berkongsi satu tips bagaimana nak menyalai itik dengan berpandukan kaedah tradisional yang biasa diamalkan oleh nenek moyang kita dulu-dulu. Jom ikuti perkongsian ini.

Gambar: Mohd Haffiz Supai

Itik salai

Mungkin ramai yang tak suka atau tak biasa makan itik kerana dah ‘set’ dalam fikiran kita yang itik ni liat (nak kena rebus lama), lepas tu hanyir pulak kan.

Tapi kalau kena gayanya, lepas ni terus tak lalu nak makan ayam ‘inject’ dah sebab asyik terbayang-bayang itik jer.

Salah satu cara nak ‘handle’ itik ni untuk jadi ‘karya agung’ anda di dapur adalah dengan kaedah salai tradisional warisan nenek moyang kita.

Perlu diingat, segala step dan cara pengendalian itik ni amat penting untuk mencapai piawaian pertubuhan penyalai sedunia (bergurau).

Empat langkah mudah menyalai itik

1) Bersihkan itik dengan betul

Gambar: Mohd Haffiz Supai

Nak mendapat rasa itik yang sedap, sebelum menyalai, itik perlu dibersihkan dengan betul. Ada bahagian-bahagian penting yang menyumbang kepada rasa hanyir itik itu.

Saya sertakan link Youtube cara membersihkan itik dengan betul (ada di penghujung artikel).

2) Bahan asapan daripada sumber kayu

Gambar: Mohd Haffiz Supai

Pastikan bahan asapan untuk menyalai adalah daripada sumber kayu buah-buahan atau tempurung kelapa. Ini juga faktor utama untuk bagi rasa dan aroma yang akan membuatkan masakan kita selepas tu akan jadi menarik.

3) Jaga suhu & tempoh

Gambar: Mohd Haffiz Supai

Ketika menyalai, pastikan jarak, suhu dan tempoh waktu proses menyalai dipantau dengan betul, bergantung pada jenis tempat menyalai tuan-tuan semua.

4) ‘Check’ salai menjadi atau tak

Gambar: Mohd Haffiz Supai

Macam mana nak tahu salai kita menjadi atau tak? Pastikan kulitnya perang dan tak melecur, tekstur kulitnya akan jadi sedikit kenyal, tapi masih enak dimakan. Isinya pula lembut tapi masih lagi juicy.

Bila kita makan akan hadir rasa ‘mint’ hasil daripada asap salaian kita tadi.

Maaf andai ada yang tak setuju dengan pendapat saya ini. Hanya kongsi tips yang saya praktikkan dalam dunia penyalaian saya selama ini.

Special credit to my bentara guru #chefsudu Arbi Mohd Arbi

Gambar: Mohd Haffiz Supai

Bagi yang nak tahu cara membersihkan itik dengan betul, bolehlah menonton videonya di bawah ini.

Sumber: Mohd Haffiz Supai melalui Suami Masak Apa Hari Ini (SMAHI)

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'