Siakap Keli
Gambar: Facebook

Panjat Pokok Selamatkan Diri Daripada Dikejar Anjing, Kucing Menderita Dikerumuni Kerengga

Seekor anak kucing terpaksa menderita dan menahan sakit berbisa apabila tubuhnya dikerumuni puluhan ekor semut kerengga.

Kejadian yang dipercayai berlaku di Thailand itu dikongsikan oleh seorang individu, Jeab Carlo Depaoli Chitreechao dalam satu perkongsian di Facebook baru-baru ini.

Berdasarkan perkongsian tersebut, difahamkan pada awalnya anak kucing itu berdepan situasi bahaya apabila didakwa ia dikejar anjing jalanan.

Mungkin tiada tempat lain yang lebih selamat, maka si comel itu tekad memanjat sebatang pokok yang berhampiran bagi mengelakkannya digigit.

Bagaimanapun, usaha anak kucing itu akhirnya menemui jalan mati apabila kali ini ia berdepan pula dengan bahaya yang lebih besar, iaitu ancaman semut kerengga.

Gambar: Facebook
Gambar: Facebook

Ketika ia ditemui, Jeab mendakwa anak kucing itu sedang mengiau kesakitan akibat digigit serangga berbisa berkenaan di keseluruhan badannya.

Tidak cukup dengan itu, si comel itu juga didakwa tidak mampu membuka matanya. Mungkin dipercayai akibat lebam digigit sambil menahan sakit.

Tersentuh hati melihat kejadian itu, Jeab mengangkatnya turun dan membawanya ke tempat yang selamat bagi rawatan selanjutnya.

Difahamkan, anak kucing itu sebenarnya peliharaan milik seseorang. Ia dibuktikan dengan seutas gelang getah berwarna merah jambu yang berada pada lehernya.

Gambar: Facebook

Jeab mendakwa, anak kucing itu mungkin terlepas dari penjagaan tuannya. Tuannya juga mungkin sedang bimbang anak kucing kesayangannya hilang entah ke mana.

Lantaran itu, Jeab membawanya ke tempat penjagaan sementara, dalam masa sama turut menghebahkan penemuan si comel itu kepada orang awam bagi mencari tuannya.

Berita sayu penemuan anak kucing malang itu sampai juga kepada tuannya yang dikatakan tinggal di wilayah Khao Tao, tidak jauh dari situ.

Akhirnya si comel itu berjaya dirawat dan pulang kembali ke pangkuan tuannya.

Gambar: Facebook
Gambar: Facebook

Sumber: A Cat Slave / Jeab Carlo Depaoli Chitreechao

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'