Siakap Keli
Foto: Edlee Al Aswad Black

Bagaikan ‘Lost World Jurassic Park’, Lelaki Ini Kongsi Pengalaman ‘River Trekking’ Di Sungai Merabung

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Sebenarnya di negara kita pun ada tempat-tempat yang menarik untuk dilawati. Cumanya korang belum berkesempatan untuk pergi ke sana. Ya, keindahan alam semulajadi sememangnya akan memberikan ketenangan jiwa.

Sebagai contoh, lelaki ini telah membuktikan bahawa keindahan hutan-hutan di Malaysia sangat unik dan menarik serta keindahan suasananya yang memukau orang ramai.

Kali ini, seorang pendaki yang bernama Edlee Al Aswad berkesempatan menunjukkan keindahan Sungai Merabung Tungku yang terletak di Lahad Datu Sabah seperti hutan di ‘Jurasic Park’. Jom ‘layan’ foto-foto menarik yang diambil beliau.

𝙏𝙃𝙀 𝙇𝙊𝙎𝙏 𝙒𝙊𝙍𝙇𝘿 𝙊𝙁 𝙈𝙀𝙍𝘼𝘽𝙐𝙉𝙂
– 𝘈 𝘑𝘰𝘶𝘳𝘯𝘦𝘺 𝘉𝘢𝘤𝘬 𝘛𝘰 𝘛𝘩𝘦 𝘓𝘢𝘯𝘥 𝘉𝘦𝘧𝘰𝘳𝘦 𝘛𝘪𝘮𝘦

Umpama kembali ke masa lampau. Itulah gambaran yang dapat kami ungkapkan setelah menamatkan River Trekking Trip di Sungai Merabung.

Di sini, kami seperti berada di suatu alam yang lain yang wujud jutaan tahun dahulu. Suasana sekitarnya sungguh segar, alami dan penuh misteri. Menjentik minda untuk memerhati, mengkaji, memahami dan menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi.

Perjalanan sejauh 3 km yang penuh dengan cabaran seakan tidak terasa apabila ditemani dengan aneka ragam flora dan fauna. Sesekali terdapat kelibat Macaca spesies yang bergayutan di dahan-dahan pokok memerhati kami dengan penuh curiga. Kami bernasib baik mereka membiarkan sahaja kami berlalu dengan aman (ada kejadian peserta yang dilempar dengan batu sebelum ini).

Hampir 80% perjalanan kami adalah dengan mengharungi sungai. Air sungai yang dalam dan permukaan batu yang licin memberi cabaran yang tersendiri. Dengan penuh berhati-hati dan kerjasama pasukan, alhamdulillah, semua peserta selamat pergi dan kembali tanpa ada kejadiaan yang tidak diingini.

Kesimpulannya, river trekking di Sungai Merabung ini menjanjikan satu pengalaman yang sungguh unik, mencabar dan menarik. Padat dengan keindahan dan kesegaran alami, menjadi santapan akal dan rohani.

Suatu perjalanan yang setimpal dengan penat lelah dan susah payah yang dihadapi. Amat beruntung mereka yang dapat menjejak kaki di sini. Kena cuba sendiri baru anda akan memahami.

 

Sumber: Edlee Al Aswad Black

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang