Siakap Keli

Karnival Kerjaya Khas Untuk Golongan OKU, Lebih 600 Peluang Pekerjaan Ditawarkan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 659 jawatan kosong ditawarkan khusus buat golongan Orang Kurang Upaya  (OKU) di Mini Karnival PenjanaKerjaya Kementerian Sumber Manusia Untuk OKU, anjuran Pertubuhan  Keselamatan Sosial (PERKESO). 

Karnival pekerjaan yang berlangsung selama sehari di Wisma PERKESO Kuala Lumpur hari ini merupakan  salah satu inisiatif PERKESO untuk membantu golongan OKU mendapatkan pekerjaan melalui sesi temu  duga terbuka, sekali gus meningkatkan penyertaan OKU dalam pasaran pekerjaan tempatan. 

Pelbagai aktiviti turut mengisi agenda penganjuran Mini Karnival PenjanaKerjaya ini seperti Bengkel  Kebolehpekerjaan bagi memberi pendedahan awal dan tips menghadapi proses temu duga kepada calon calon. Selain itu, PERKESO turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kerjaya dan membuka kaunter  pendaftaran Portal Perkhidmatan Pekerjaan Negara, MYFutureJobs

Seramai sembilan (9) majikan mengambil bahagian dalam temu duga terbuka ini dengan tawaran gaji di  antara RM1,200 hingga RM2,000 di beberapa lokasi di seluruh negara. Antaranya ialah McDonald’s Malaysia, Alliance MEP Sdn. Bhd., LYF Electronics Trading, Genesis Supplies Sdn. Bhd. dan BPLaz (M) Sdn. Bhd. Sehingga 4 petang ini, seramai 173 calon telah membuat pra-pendaftaran secara dalam talian, 99 pencari  kerja OKU hadir ke mini karnival dan 21 orang berjaya ditawarkan pekerjaan. 

YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed, Ketua Eksekutif PERKESO turut hadir  memberi sokongan. Selain melawat tapak mini karnival dan meluangkan masa bersama pencari kerja OKU,  beliau juga menyampaikan sijil penghargaan kepada majikan-majikan yang menyertai karnival ini. 

YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman juga menggesa majikan yang menyertai karnival ini dan yang di luar  sana untuk memohon Insentif Pengambilan Pekerja di bawah Program PenjanaKerjaya 2.0 apabila  menggajikan pekerja tempatan. Bagi majikan yang menggajikan pekerja OKU atau golongan rentan, mereka  layak menerima bayaran insentif sehingga RM36,000 bagi tempoh maksimum 6 bulan. Untuk  meningkatkan kemahiran pekerja-pekerja ini, majikan boleh menghantar mereka menjalani latihan di mana yuran latihan di antara RM4,000 hingga RM7,000 disediakan di bawah program ini. 

Buat rakyat Malaysia yang sedang mencari pekerjaan atau ingin meninjau peluang pekerjaan lain, PERKESO menggalakkan mereka segera berdaftar di portal MYFutureJobs menerusi pautan https://www.myfuturejobs.gov.my. Selain itu, pencari kerja juga boleh mendapatkan info dan menyertai program-program temu duga terbuka yang diadakan di semua pejabat PERKESO seluruh negara pada setiap  minggu menerusi media sosial rasmi PERKESO dan laman rasmi EIS PERKESO. Bagi sebarang pertanyaan  mengenai Insentif Pengambilan Pekerja, boleh terus hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 03 – 8091 5300 atau e-mail [email protected] 

Nur Farra