Siakap Keli

Ini Cara Bagaimana Korea Utara ‘Buat Duit’ Yang Ramai Tak Tahu

Gelaran “Hermit Kingdom” atau kerajaan pertapa tidak asing lagi dengan kerajaan Korea Utara atau nama rasminya Republik Rakyat Demokratik Korea.

Bukan sahaja sukar untuk mendapatkan maklumat dari negara ini, malah sekatan ekonomi yang dilakukan Korea Utara dikuatkuasakan pada beberapa peringkat termasuk pasaran gelap. Walaubagaimanapun, kerajaan pimpinan Kim Jong-Un ini tidak pernah mengeluarkan statistik rasmi tentang aktiviti perdagangan mereka.

Bagaimanakah realiti sebenar ekonomi Korea Utara?

Realiti ekonomi Korea Utara tidak terlalu memberansangkan. Ekonomi negara ini termasuk dalam salah satu ekonomi yang paling berpusat dan kurang terbuka secara global. Menurut CIA World Factbook, Korea Utara mengalami masalah ekonomi yang kronik.

Saham modal perindustrian Korea Utara hampir tidak dapat diperbaiki hasil daripada ketiadaan pelaburan, serta kekurangan alat ganti dan penyelenggaraan yang buruk. Perbelanjaan negara tersebut untuk pasukan ketenteraan pada skala besar menyebabkan kekurangan sumber untuk pelaburan dan keperluan rakyat.

Data kajian Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan 1999 menganggarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Korea Utara pada tahun 2011 adalah sekitar $1,800 per kapita dengan pertumbuhan pada kadar 0.8%.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan KDNK Korea Utara per kapita hanya $506 pada kadar pertumbuhan -0.1%.

Factbook menganggarkan KDNK Korea Utara per kapita sebanyak $31,700 pada 2011 dan $32,400 pada 2012 dengan kadar pertumbuhan 3.6% dan 2%.

Sumber pendapatan utama Korea Utara

Industri Korea Utara didefinisikan sebagai produk ketenteraan, pembuatan mesin, tenaga elektrik, bahan kimia, perlombongan, metalurgi, tekstil, pemprosesan makanan dan pelancongan.

Bahan eksport utama Korea Utara adalah mineral, produk berasaskan logam, persenjataan, tekstil, dan produk pertanian serta perikanan, manakala petroleum, arang batu, jentera dan perkakasan, tekstil dan bijirin merupakan bahan import utama.

 

Sumber: The Guardian

 

Dianggarkan hampir separuh daripada KDNK Korea Utara disumbangkan oleh industri perkhidmatan dan pertanian.

Kementerian Penyatuan Korea Selatan meletakkan nilai dagangan antara kedua-dua negara pada 2011 adalah sebanyak $1.7 juta.

Menurut kementerian, bantuan kemanusiaan daripada pihak kerajaan dan swasta ke Korea Utara diperkirakan sebanyak $17.4 juta.

Jang Jin-sung, ketua editor laman web New Focus International, yang menyiarkan berita berdasarkan rangkaian daripada pelarian Korea Utara dan sumber dari dalam negara mengatakan bahawa beliau pernah terbang ke Korea Utara dan mengunjungi Jawatankuasa Penyiaran Pusat DPRK. Beliau juga merupakan seorang Penyair Negara.

Jang berkata, pelaburan Korea Selatan menjana pendapatan mata wang asing Korea Utara dan sebahagian besar lagi daripada perdagangan dengan China.

Nilai terbesar disumbangkan dari perdagangan senjata.

Keseluruhan perdagangan Korea Utara dengan China mengimbalkan sebahagian keuntungan, yang selalunya lebih daripada 50%, kepada organisasi kewangan negara yang dikenali sebagai “Office 38” sebagai “tawaran kesetiaan”.

Rakan dagangan Korea Utara

CIA World Factbook melaporkan, China menyumbang kira-kira 67.2% daripada nilai eksport Korea Utara dan 61.6% import pada 2011, manakala Korea Utara 19.4% (eksport) dan 20% (import). India menerima kira-kira 3.6% daripada eksport dan Kesatuan Eropah menyumbang 4% daripada import pada tahun yang sama.

Pada tahun 2001, Profesor Jim Hoare, Felo Kanan University of London’s School of Oriental and African Studies (SOAS), menubuhkan kedutaan pertama British di Korea Utara.
Hoare berkata, pada awal tempoh sedekad terakhir, Korea Selatan menjadi salah satu rakan dagang utama Pyongyang. Namun, ia tidak bertahan lama setelah Presiden Lee Myung-bak (presiden Korea Utara ketika itu) menamatkan polisi penglibatan menjadikan China sebagai rakan dagang utama.

Produk keluaran China berada di setiap pelosok negara itu. China membekalkan Korea Utara dengan minyak, makanan dan segala aspek daripada bas hingga tempat duduk tandas.

 

 

Apakah keuntungan diperoleh China dengan membantu Korea Utara?

Tidak sedikit rakyat Beijing yang merasa keselamatan mereka terjamin dengan pertahanan Korea Utara di sempadan mereka, dibandingkan dengan sekutu Amerika Syarikat, Korea Selatan.

Namun, China tetap menentang Korea Utara dan berpihak kepada resolusi PBB yang mengecam ujian nuklear Pyonyang awal tahun ini.

Jang berkata, beliau percaya China berpihak kepada penentangan tersebut untuk merebut kembali kuasa Korea Utara yang hilang di bawah pemerintahan bapa dan ibu saudara Kim Jong Un, iaitu Jang Song-taek dan Kim Kyong-hui.

Angkatan tentera pimpinan Kim Jong Il pernah menimbulkan kegusaran China dan berpendapat sebaiknya kuasa tersebut diberikan kepada mereka sendiri.

Jenny Jun, dalam salah satu artikel terbitan 38north.org berspekulasi bahawa, Beijing mungkin tidak senang duduk apabila menyedari usaha untuk mengekalkan status quo dengan mengukuhkan rejim mereka juga berdampak kepada program nuklear Korea Utara.

Taraf hidup masyarakat Korea Utara

Pada 2011, UNICEF menganggarkan suku daripada masyarakat Korea Utara, bersamaan enam juta penduduk mengalami kekurangan sumber makanan. Satu juta daripada populasi tersebut adalah kanak-kanak di bawah lima tahun.

UNICEF juga berkata, Korea Utara mencatu makanan mereka dan berkemungkinan mengalami krisis makanan disebabkan isolasi politik dan ekonomi, serta faktor perubahan iklim.

Program Makanan Sedunia berpendapat, Korea Utara berdepan masalah kekurangan bahan makanan secara signifikan, di mana satu daripada tiga kanak-kanak di negara itu mengalami malnutrisi kronik atau masalah tumbesaran.

 

 

Pada tahun 2009, Amerika Syarikat menangguhkan penghantaran makanan ke Korea Utara selepas negara itu menolak sebarang penghantaran di tengah-tengah ketegangan program nuklear Pyongyang dan dikhuatiri bekalan tersebut tidak sampai kepada rakyat yang memerlukan.

Pada Mac 2012, Pyongyang bersetuju untuk menghentikan sebahagian program peluru berpandu dan nuklear mereka. Korea Utara juga bersetuju untuk menerima kembali pemantau nuklear sebagai pertukaran untuk 240,000 tan metrik bantuan makanan dari Amerika Syarikat.

Namun, pada bulan yang sama, Korea Utara mengumumkan ujian pelancaran roket sekaligus membatalkan perjanjian tersebut.

Hoare berkata, taraf hidup di Pyongyang berbeza dengan bahagian-bahagian lain di negara itu.

Pyongyang dihuni oleh golongan elit dan berpendapatan. Restoran-restoran di sana dikunjungi masyarakat Korea, pegawai dan ramai lagi, manakala di bahagian lain, pegawai-pegawai kanan mempunyai akses kepada dana. Kebanyakan hidup rakyat Korea Utara jauh panggang dari api dengan golongan elit di Pyongyang.

 

 

Diet masyarakat Korea Utara sangat berbeza dengan Korea Selatan. Bijirin dan sayur-sayuran merupakan makanan ruji kebanyakan masyarakat di sana. Daging dan ikan adalah sangat tidak lazim dalam diet harian mereka.

Walaupun kehidupan golongan elit dan warga asing di ibu negara Pyongyang terjamin, hidup mereka tidaklah semewah yang disangka.

Mengapa ekonomi Korea Utara sangat membimbangkan?

Ekonomi rasmi berdasarkan industri berat di wilayah pantai timur Korea Utara. Pada pertengahan 1970-an, Korea Utara termasuk dalam salah satu daripada dua negara perindustrian utama di Asia bersama Jepun.

Walaupun Korea Utara bukan ahli rasmi, ia turut mendapat manfaat dari Majlis Bantuan Ekonomi Bersama pimpinan Soviet.

Walaupun begitu, kejatuhan Kesatuan Soviet dan satu siri bencana alam memicu kemerosotan yang membimbangkan dalam sektor perindustrian 1980-an.

Sehingga 1990-an, keadaan semakin memburuk menjadikan ekonomi Korea Utara sangat lemah. Negara ini juga kekurangan bekalan minyak kerana sudah terputus bekalan daripada Kesatuan Soviet.

Pertanian juga semakin merosot sejak 1980-an kerana terlalu bergantung kepada baja. Yang tersisa hanya tanah yang tandus, rakyat yang lelah dan peralatan yang usang.

Untuk mendapatkan sumber yang sahih tentang ekonomi Korea Utara boleh dikatakan hampir mustahil. Pyongyang tidak pernah menerbitkan sebarang statistik ekonomi sejak awal 1960-an.

Negara itu juga mempunyai kekurangan tenaga elektrik, yang merupakan salah satu alasan Pyongyang untuk mengembangkan tenaga nuklear.

Sejak ujian nuklear pertama Pyongyang pada 2006, Majlis Keselamatan PBB mensasarkan sekatan terhadap program peluru berpandu nuklear dan balistik.

PBB membekukan aset ekonomi yang dikawal oleh pihak-pihak tertentu yang menyokong atau terlibat dengan program tersebut.

Sekatan yang baharu diperkenalkan ini menghalang penjualan barang mewah seperti kapal layar dan perhiasan mewah tertentu kepada Korea Utara.

Adakah penyekatan mempengaruhi masyarakat kebanyakan Korea Utara?

Duta Amerika Syarikat, Susan Rice, berkata kepada PBB, penyekatan terhadap barangan mewah bermakna para pemimpin dari golongan elit di Korea Utara yang hidup mewah dengan menindas rakyat perlu membayar secara langsung untuk aktiviti nuklear negara mereka.

Jang berkata, pertubuhan yang digelar “Office 38” menjana pendapatan untuk pemimpin Korea Utara dan infrastruktur elit yang sepertinya membiayai kehidupan peribadi Kim Jong Il semasa hidupnya. Ia berdasarkan matawang asing, katanya.

Beliau berkata, ekonomi rakyat berlandaskan pasaran gelap semenjak penyusutan nilai won Korea Utara.

Pasaran ekonomi ini muncul sejak tahun 1990-an sebagai salah satu cara untuk kelansungan hidup, kata Hoare. Beliau memecahkan ekonomi dasar Korea Utara kepada beberapa bahagian iaitu ekonomi rakyat, ekonomi ketenteraan, dan ekonomi untuk mengekalkan gaya hidup normal pemerintah.

Perdagangan senjata

Dalam satu resolusi pada bulan Mac 2013, selepas ujian nuklear Korea Utara pada bulan Februari, Majlis Keselamatan PBB merujuk kepada Perbadanan Perdagangan Perlombongan dan Pembangunan Korea sebagai orang tengah dalam urusan bekalan persenjataan dan pengeksport utama perkakasan yang berkaitan dengan misil balistik dan senjata konvensional.

 

 

Pada 2 April 2013, Korea Utara termasuk dalam tiga negara ahli PBB bersama Syria dan Iran yang menentang organisasi tersebut untuk mengekalkan perdagangan senjata mereka secara global.

Perdagangan haram yang bersangkut paut dengan Korea Utara

Masyarakat Korea Utara, termasuk pegawai-pegawai kerajaan telah terlibat dalam penyeludupan dadah sejak bertahun-tahun, menurut Factbook. Dalam beberapa tahun terakhir, Korea Utara sering dikaitan dengan penyuludupan besar-besaran dadah jenis heroin dan methamphetamine.

Lain-lain keterlibatan eksport haram Korea Utara yang dimaksudkan untuk kegunaan luar negara akhirnya menjebak Korea Utara sendiri. Penggunaan wang palsu terbukti kurang efektif untuk kegunaan luar negara namun tersebar di segenap pasaran Korea Utara.

Masalah yang tidak terbendung ini menyebabkan Pyongyang tidak menerima $100 untuk tawaran loyalti kerana kebanyakan wang kertas itu dipalsukan. Korea Utara bertegas hanya menerima wang kertas $50 sebagai bayaran. Namun, Korea Utara menyangkal keterlibatan mereka dalam pemalsuan wang kertas.

Rakyat Korea Utara menghadapi kecanduan dadah seperti meth dan opium, namun seperti isu sebelummnya, negara tersebut menafikan bahawa mereka terlibat dengan penyeludupan dadah dan senjata api.

Bagaimana rakyat Korea Utara meneruskan hidup?

Korea Utara secara tradisinya memberi makan kepada rakyatnya, namun setelah kemusnahan Kesatuan Soviet, mereka tidak mempunyai apa-apa dan mula mengamalkan sistem barter.

Barang-barang dibawa masuk dari China untuk diniagakan supaya peniaga Cina menguasai pasaran rakyat.

New Focus International melaporkan, perdagangan pasaran gelap yang dikenali sebagai “jangmadang” telah memberikan sumber pendapatan utama bagi kebayakan masyarakat Korea Utara.

Apabila ekonomi Korea Utara semakin kukuh, pekerja menerima wang melalui Sistem Pengedaran Awam negeri. Bayaran mereka adalah sangat sedikit namun kini orang ramai berdagang di pasaran.

Apakah matawang yang digunakan Korea Utara?

Matawang rasmi negara ini adalah won Korea Utara, namun segalanya di sana dipasak dengan matawang dolar Amerika Syarikat, termasuk pasaran gelap. Nilai won hanya seakan sekeping kertas kerana segala transaksi perniagaan menggunakan dolar. Matawang won hanya digunapakai untuk sistem barter oleh golongan kelas bawahan.

Pyongyang pernah melakukan usaha untuk mengembalikan nilai matawang rasmi mereka, namun kerana semua menggunakan dolar untuk aktiviti perdagangan, nilai dolar semakin mencanak naik sementara nilai won terus menurun.

Matawang euro juga semakin banyak digunakan di sesetengah bahagian sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya Amerika Syarikat memutuskan matawang dolar di sana. Matawang asing masuk ke Korea Utara melalui beberapa cara termasuk transaksi perdagangan di perbatasan China dan pelancong asing. Semua kedutaan beroperasi menggunakan matawang asing.

Kompleks Perindustrian Kaesong

Korea Utara mengatakan bahawa mereka akan mengembalikan pekerja-pekerja dan menghentikan operasi di Kompleks Perindustrian Kaesong. Korea Utara menuduh Korea Selatan akan menjadikan kompleks tersebut sebagai zon perang.

Kompleks ini terletak di bahagian perbatasan Korea Utara tetapi beberapa syarikat Korea Selatan turut beroperasi di sana. Kompleks Perindustrian Kaesong merupakan sumber penting matawang yang kukuh untuk pasukan rejim Kom Jong Un.

 

Terdapat lebih 50,000 warganegara Korea Utara yang bekerja di situ, menghasilkan barangan bernilai ratusan juta dolar setahun. Rata-rata pekerja di sana dibayar $134 sebulan, di mana 45% daripada nilai tersebut adalah cukai.

Kompleks Perindustrian Kaesong adalah satu-satunya polisi berhubung Korea Selatan yang digunapakai semenjak tahun 1997. Ia merupakan simbol kerjasama tunggal yang masih ada kerana Pyongyang peka bahawa itulah pandangan masyarakat luar.

Adakah masih ada usahasama antara kedua-dua negara Korea?

Satu-satunya usahasama antara Korea Utara dan Selatan ialah projek Kawasan Pelancongan Gunung Kumgang, lawatan Hyundai Asan.

Walaubagaimanapun, lawatan tersebut dihentikan oleh tembakan dari pihak penjaga Korea Utara yang menyebabkan kematian seorang wanita warganegara Korea Selatan pada tahun 2008. Pyongyang menolak permintaan Seoul untuk perbicaraan.

Korea Utara mengambil alih sepenuhnya kompleks yang dibangunkan Korea Selatan itu dan memanfaatkannya untuk industri perlancongan negara mereka. Dikhabarkan bahawa terdapat beberapa kompleks lain yang sedang dibangunkan sebelum terjadinya pertukaran presiden Korea Utara.

SUMBER: CNN

Eyla Azri