Siakap Keli
Gambar: @pantungalimar

Ayah Meninggal Beberapa Hari Sebelum Majlis, Lelaki Minta ‘Edit’ Wajah Ayah Pada Foto Pernikahan Adik

Setiap daripada kita pastinya mahukan majlis perkahwinan kita dihadiri oleh ibu bapa kita. Manakan tidak, hari bahagia itu rasa tidak lengkap sekiranya orang tua kita tidak dapat meraikannya bersama.

Pun begitu, sekiranya ketentuan Illahi telah menetapkan bahawa mereka terpaksa pergi buat selamanya sebelum dapat menyaksikan anak kesayangan mereka mendirikan rumah tangga, siapalah kita untuk menghalangnya.

Seperti yang terjadi di satu ciapan di Twitter pada baru-baru ini, seorang lelaki yang telah kehilangan ayahandanya yang tersayang telah membuat satu permintaan iaitu wajah ayahnya itu ‘dijelmakan’ dalam satu foto di majlis perkahwinan adiknya.

Menurut lelaki itu, ayahnya telah kembali ke rahmatullah beberapa hari sebelum majlis perkahwinan adiknya itu berlangsung.

Menerusi ciapan tersebut, dapat dilihat bahawa lelaki itu telah menghantar mesej secara personal kepada pengguna Twitter bernama @pantungalimar atau Gal yang kemudiannya telah berkongsikan perkara itu di akaun Twitter miliknya.

Pada mulanya, lelaki itu memintanya supaya menggantikan wajahnya yang berada di sebelah pengantin dengan wajah ayahnya.

Namun begitu, Gal telah menambah baik permintaan itu dengan menjelmakan terus ayah kepada lelaki tersebut di sebelahnya.

Sehingga kini, ciapan yang dimuat naik pada 3 April itu telah mendapat sebanyak 32 ribu ulang ciap dan lebih 100 ribu Likes di Twitter.

Rata-rata warganet yang melihat ciapan tersebut berasa sedih dan tersentuh atas tindakan yang dibuat oleh Gal terhadap permintaan lelaki itu.

Sumber: Twitter

Aqmal Ezany

I write what is right