Siakap Keli

(Video) “Bapak, Ada Jurus Antitusuk Ke?,” Banyak Kali Cuba, Tular Jarum Tak ‘Tembus’ Kulit Warga Emas Saat Disuntik Vaksin

Ketika ini, kebanyakan negara sudah menjalankan program vaksinasi COVID-19 termasuk di Indonesia.

Sehingga 4 April yang lalu, Indonesia telah merekodkan sebanyak 12.7 juta vaksinasi di seluruh negara, lapor Detik Health.

Dalam pada itu, ada insiden yang tak terjangka berlaku ketika seorang warga emas disuntik vaksin itu, jarum suntikan dipercayai tidak menembusi kulitnya.

Menurut Suara Jogja, rakaman video yang memaparkan kejadian itu telah tular di media sosial.

Dalam video itu, lelaki bertopi hitam itu duduk dengan lengan baju tangan kanannya disingsingkan.

Seorang petugas kesihatan wanita juga dilihat memasukkan jarum suntikan ke lengan kanan lelaki itu tetapi usahanya tidak berjaya.

Jarum itu sukar untuk dimasukkan kerana mungkin kulitnya yang terlalu tebal.

“Pakcik ada jurus antitusuk ke?,” seloroh petugas kesihatan wanita itu.

Sementara itu, ada netizen mengatakan bahawa vaksin itu sukar untuk disuntik kerana keadaan yang biasanya dialami orang yang berusia 50 tahun ke atas.

Tidak kurang juga, ada yang mengesyaki bahawa itu kerana masalah scleroderma.

Bagi yang tak tahu, scleroderma adalah penyakit berpanjangan yang menyerang kulit, tisu pengubung dan organ dalaman.

Ia berlaku apabila sistem imun menyebabkan badan menghasilkan terlalu banyak kolagen protein iaitu bahagian penting dari kulit anda, lapor WebMd.

Kesannya, kulit akan menjadi tebal dan tegang. Parut juga boleh terbentuk di paru-paru dan buah pinggang anda. Salur darah juga boleh menebal dan tidak lagi mampu berkerja dengan baik seperti yang sepatutnya.

Keadaan ini seterusnya boleh merosakkan tisu badan selain penghidap berisiko menghidapi penyakit darah tinggi.

Ia juga bukan penyakit berjangkit. Bermakna seseorang individu tidak boleh dijangkiti atau menjangkiti orang lain. Menurut WebMd lagi, tiada ubat untuk penyakit ini setakat ini, namun rawatan dari pihak hospital boleh membantu meredakan simptom-simptom dialami.

Sumber: Suara Jogja

Sofea

There's always another side to every story