Siakap Keli
Kredit: Google

”Jangan Membawang”, Doktor Kongsi 6 Cara Elak Mulut Berbau Ketika Berpuasa

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Sepanjang berpuasa, mulut kita biasanya akan kering. Dalam masa sama, nafas yang dihembus melalui mulut pun ada mengeluarkan sedikit bau yang tidak selesa.

Bila nafas dan mulut berbau, sudah tentulah kita berasa tidak selesa kan? Nak sembur pewangi, alamak tengah puasa pula. Alamatnya kenalah tunggu sampai masuk waktu berbuka.

Persoalannya, apakah caranya untuk kita elak mulut daripada berbau busuk? Mari ikuti perkongsian oleh Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan di bawah ini. Semoga bermanfaat.

Gambar hiasan | Kredit: Google

Enam cara elak mulut berbau di bulan Ramadan

1. Minum air secukupnya

Antara salah satu sebab mulut berbau adalah kerana kekeringan pada mukosa dalam mulut akibat kekurangan air semasa berpuasa. Maka semasa sahur hendaklah minum air kosong secukupnya, agar badan sentiasa terhidrat dan mulut tidak kering.

2. Elakkan minum kopi atau teh di waktu sahur

Kopi dan teh adalah sejenis diuretik, iaitu bahan yang menggalakkan penghasilan air kencing. Jika kita minum teh dan kopi, makan kita akan hilang banyak air melalui air kencing. Ia boleh menyebabkan dehidrasi, dan secara tidak langsung menyumbang kepada mulut berbau.

3. Kurangkan bercakap

Kurangkan bawang dan membawang. Bawang putih dan merah adalah antara makanan yang buat nafas berbau. Manakala, terlalu banyak bercakap pula boleh menyebabkan kelembapan mulut mudah tersejat, lalu menyebabkan mulut menjadi kering dan berbau.

4. Ambil karbohidrat secukupnya

Ramai cuba kurangkan berat badan secara intensif semasa Ramadan dengan tidak ambil karbohidrat serta gula. Ini memaksa tubuh mendapatkan tenaga secara ketosis dan menghasilkan ketones yang menyebabkan nafas berbau. Jadi, makanlah juga karbohidrat sikit.

5. Gosok gigi dan bersihkan lidah

Antara penyumbang mulut berbau adalah kehadiran bakteria dalam mulut. Maka, gosok gigi sebelum tidur dan 30 minit selepas sahur. Gunakan floss untuk bersihkan sisa makanan di celahan gigi dan bersihkan lidah dengan berus gigi. Boleh juga kumur dengan larutan pembersih mulut.

6. Pastikan tiada masalah mulut dan hidung

Jika semua cara di atas telah diikhtiar tetapi mulut masih berbau, anda hendaklah berjumpa dengan doktor. Masalah pada rongga hidung, sinus, gigi, lidah, gusi atau tonsil juga boleh menyebabkan mulut berbau. Jadi, jumpalah doktor untuk pemeriksaan.

Berpesan-pesanlah pada kebaikan, dan selamat menjalankan ibadah puasa!

Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Kesihatan dan Perubatan

Jemput follow jika ingin dapatkan informasi kesihatan yang sahih!

Sumber: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'