Siakap Keli
Gambar Via Gulf News

“Saya Hanya Mahu Pahala Dari Allah,” Lelaki Derma Hati Tolak Pampasan RM3.3 Juta

Demi pahala dan redha dari Allah SWT, seorang lelaki di Arab Saudi dilaporkan telah menolak pampasan yang berjumlah 3 juta Saudi Riyal (RM3.3 juta) untuk hati yang didermakannya kepada seorang ahli perniagaan.

Menurut Gulf News, lelaki itu juga sebaliknya mendermakan buah pinggangnya kepada seorang gadis yatim piatu untuk menyelamatkan nyawanya tanpa meminta apa-apa balasan.

Semasa satu wawancara di televisyen, Ali Al Daba’an mengatakan bahawa dia adalah CEO sebuah organisasi amal di Hail dan gadis itu adalah antara yang ditaja oleh organisasi tersebut.

“Kami biasa membawa Aisyah (anak yatim) ke pusat dialisis. Setelah meneliti segala maklumat dan keadaan kesihatannya, saya memutuskan untuk mendermakan buah pinggang saya kepadanya,” katanya.

Tambahnya lagi, dia telah dihubungi oleh seseorang bagi pihak seorang ahli perniagaan yang mencari penderma hati.

“Saya tidak mempunyai masalah dan bersetuju untuk melakukannya jika doktor mengatakan saya baik-baik saja, terutamanya kerana saya merancang untuk menderma buah pinggang saya kepada Aisyah.

“Ahli perniagaan itu telah memperuntukkan 3 juta Saudi Riyal untuk penderma itu dan saya menolak untuk mengambil wang itu kerana saya tidak mahu apa-apa kecuali pahala daripada Allah SWT,” katanya.

Kemudian, doktor juga telah memberitahunya bahawa dia hanya boleh menderma satu organ sahaja dan tanpa ragu-ragu, dia memilih untuk menderma buah pinggang kepada Aisyah.

Sumber: Gulf News

Sofea

There's always another side to every story