Siakap Keli
Gambar via @harithzairiiiii

“Tolong Batalkan Semua Pesanan,” 12 Penghantar Makanan Dilapor Kena ‘Prank’, Hantar ‘Order’ Ke Alamat Palsu

Seorang penghantar makanan warga Singapura meluahkan kekesalannya di laman Twitter ekoran di ‘prank’ individu tak bertanggungjawab, lapor Mothership.

Menurutnya, dia merupakan mangsa ke-12 yang mendapat pesanan menghantar makanan di rumah itu.

Pesanan berjumlah S$34.59 itu dibuat melalui transaksi tunai. Ini bermakna penghantar seharusnya menerima wang pesanan di alamat yang ditetapkan.

“Jika anda menerima pesanan daripada rumah ini, sila batalkan kerana ada seseorang di luar sana menggunakan alamat ini untuk mempermainkan penghantar makanan,” katanya.

Pesanan itu datang dengan arahan “ketuk pintu bila sampai, loceng tak berfungsi”.

Pemilik rumah tersebut turut menampal pesanan berupa amaran di luar rumah berbunyi “Rumah ini merupakan mangsa ‘prank’ pesanan makanan. Sila batalkan semua pesanan”.

Gambar via @harithzairiiiii

Taktik ugutan

Pesanan-pesanan ke rumah tersebut difahamkan bertujuan untuk memalukan dan mengganggu hidup penerimanya.

Taktik ini melibatkan orang ketiga yang tidak tahu apa-apa seperti penghantar makanan.

Sebelumnya, pernah berlaku kes di mana pengutip hutang mengirim beberapa pesanan makanan dalam satu masa. Hal ini bukan sahaja membuat penduduk sekitar tertumpu kepada rumah tersebut, malah mengundang kekecohan.

Dalam situasi ini, penghantar makanan adalah yang paling terkesan kerana tidak dibayar kompensasi penuh sementara pihak yang menyediakan makanan terpaksa membuang makanan yang dipesan.

Respon pihak polis

Pasukan Polis Singapura berkata kepada Mothership, mereka menganggap insiden sebegini adalah sesuatu yang serius.

“Siasatan lanjut mendapati, rumah tersebut menerima banyak pesanan makanan yang dipesan peminjam wang tak berlesen,” kata pihak polis mengenai insiden yang berlaku di Bedok, Singapura itu.

“Pihak polis tidak akan beri muka kepada pengutip hutang yang bertindak mengganggu,” kata jurucakap polis.

“Sesiapa sahaja yang bertindak dengan tujuan mengganggu keamanan dan keselamatan umum akan ditahan dan di bawa ke muka pengadilan,” tambahnya.

Sumber: Mothership

Eyla Azri