Siakap Keli
Kredit: Bernama

MCMC Minta Penyedia Platform Turunkan Iklan Raya Promosi Judi

PUTRAJAYA, 16 April (Bernama) — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah berkomunikasi dengan penyedia platform media seperti Facebook, Twitter dan YouTube untuk menurunkan kandungan iklan yang mengajak umat Islam di negara ini untuk berjudi bagi mendapatkan dana balik kampung sempena Aidilfitri.

Menerusi satu kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan kandungan berkenaan akan diturunkan mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh penyedia platform media itu yang berpangkalan di luar negara.

Tular di laman sosial video iklan berdurasi dua minit yang dikeluarkan sebuah syarikat judi dengan kandungannya mengajak orang ramai meraih wang berganda dengan menggunakan perkhidmatan syarikat mereka bagi mendapatkan dana untuk menyambut hari raya.

MCMC dalam kenyataannya memberitahu pihak yang terlibat seperti pihak produksi dan pelakon seharusnya perlu lebih peka untuk tidak turut sama bersubahat dalam kegiatan mempromosikan judi dalam talian, yang jelas merupakan satu kesalahan.

“Penghasilan kandungan adalah tertakluk kepada Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia untuk dipatuhi oleh mereka yang terlibat dengan penghasilan dan pengedaran kandungan,” jelasnya.

Menurut MCMC, dalam kebebasan menyediakan kandungan, penyedia harus mengikuti kod kandungan yang sesuai dengan norma masyarakat Malaysia yang majmuk.

MCMC juga menegaskan perbuatan menyebarluaskan kandungan berkenaan hanya akan membantu secara langsung pihak yang terlibat dalam menyebarkan dakyah mereka mempromosikan perjudian dalam talian yang boleh memudaratkan masyarakat Malaysia.

“Pengguna media sosial juga perlulah lebih bertanggungjawab dengan melaporkan perkara-perkara sebegini secara terus kepada pihak berkuasa untuk tindakan susulan mereka dan bukannya menyebarluaskan kandungan berkenaan,” katanya.

MCMC dalam pada itu menyatakan kegiatan judi dan promosi judi dalam talian adalah tertakluk di bawah Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 iaitu di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sejak 12 Mac lepas, MCMC telah mengoperasikan tindakan sekatan secara laluan pantas (fast-track) dengan mengupayakan pihak PDRM mengarahkan penyedia perkhidmatan Internet untuk menyekat akses ke atas laman sesawang yang melanggar peruntukan undang-undang di bawah akta yang sama.

Sumber: BERNAMA

Amira

Love yourself.