Siakap Keli
Foto: Bernama

Polis Tahan 4 Lelaki Disyaki Terlibat Kes Samun, Pukul

SHAH ALAM, 19 April – Polis Klang Selatan menahan empat individu yang disyaki terlibat dalam kes samun dan pukul pemandu sebuah kenderaan semalam, yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata pihaknya menerima laporan polis berkaitan video tersebut yang menunjukkan sekumpulan lelaki sedang menendang dan memecahkan cermin kenderaan di tepi jalan raya.

“Kesemua suspek tiada pekerjaan dan merupakan penagih dadah yang berumur lingkungan 23 tahun hingga 35 tahun, ditahan dalam kawasan Klang Selatan dan tangkapan dibuat bermula 7 malam hingga 11 malam.

“Ujian awal saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shamsul Amar berkata dalam kejadian yang berlaku lebih kurang 4.30 petang semalam, mangsa sedang memandu bersama sepupunya di Taman Sentosa menghala ke Pelabuhan Klang.

Mangsa kemudian dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Honda Civic yang dinaiki oleh empat lelaki, katanya.

Beliau berkata suspek telah bertindak memecahkan cermin kereta, menarik mangsa keluar dari kenderaan dan memukul mangsa dengan menggunakan kayu serta merampas sebuah telefon bimbit milik sepupu mangsa.

Menurutnya, keempat-empat lelaki tersebut itu disiasat mengikut Seksyen 394/427 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang