Siakap Keli

“Apa Yang Kau Tak Buat Dulu Demi Bantu Aku?”, Achey ‘Throwback’ Kenangan Mula-mula Kahwin, Tulis Ucapan Khas Buat Isteri Sempena ‘Birthday’

Setiap isteri itu ibarat permata dalam sebuah rumah. Kuatnya seorang suami adalah kerana di belakangnya berdiri wanita bernama isteri. Cinta sejati antara kedua-duanya pasti utuh sepanjang meniti jalan hidup.

Bagi mana-mana pasangan yang baru berkahwin misalnya, semakin lelah sang suami bernafas mencari rezeki, semakin kuatlah genggaman erat si isteri yang mempercayai kemampuan mereka menghadapi jatuh bangun bersama.

Kebiasannya, pasangan suami isteri akan mengingati cinta bersejarah mereka pada hari ulang tahun perkahwinan atau kelahiran masing-masing. Pada hari itulah segala kenangan pahit manis akan ‘ditayang’ semula, berteman gelak ketawa dan air mata.

Demikianlah seperti yang dikongsikan oleh pelawak terkenal, Achey di mana figura komedi ini menitipkan ucapan khas buat si ‘jantung hati’ bersempena ulang tahun kelahiran isteri tercintanya hari ini.

Walaupun kata-kata yang dinukil di laman Instagram ini hanyalah lima rangkap sahaja, tapi intipatinya sangat mendalam. Terkandung 1001 makna yang hanya mereka berdua sahaja mampu mentafsirnya dengan kamus hati.

Seperkara lagi, walaupun cukup terkenal dengan lawak jenaka jika beraksi di atas pentas, namun bagi penulisan dari hati ini, Achey seakan bukan yang kita ‘kenal’. Romantis juga orangnya. Jom ikuti ucapan ini.

Gambar: Instagram

Bismillah… isteriku ..NUR HASANAH BTE YAHAYA..setiap kali ulang tahun awak saya tak pernah lepas untuk bersyukur dan menyambutnya… sebab saya tau tarikh 21 a\April ada tarikh lahirnya wanita yang cukup cekal dalam kepayahan dan hebat kesabarannya…

Susahnya dahulu kita mula-mula berkahwin.. takkan saya lupa… tapi awak tenang hadapi bersama… jadi cleaner bank.. jual burger depan bengkel berbumbungkan kanvas… gadai gelang kawin… apa yang kau tak buat dulu demi bantu aku?… semua yang halal awak buat janji lepass ..

Dialah orang pertama percaya dengan kesungguhan saya untuk ujibakat… dialah insan yang buat prop saya sampai saya dapat masuk tv.. dan dia percaya dengan niat saya dalam dunia hiburan yang penuhh dugaan…

Dia sentiasa mengingatkan saya tentang pentingnya kedua ibu bapa… apa yang terbaik untuk mereka semua.. berbakti sehingga hujung nyawa..

Soal anak? Dia senyumm.. @tiarazinnirah_official kan ada..

Kepada @anne_achey Usah risau di perkata sedikit kesenangan yang awak terima kini…kerana itulah nikmat Allah berikan atas ujian sebelum ini..

SELAMAT ULANG TAHUN SAYANG

Ucapan khas yang ikhlas dari hati sanubari Achey ini menerima kira-kira lebih 120,000 tanda ‘likes’ serta turut dimaklum balas oleh ramai peminatnya. Tidak kurang juga beberapa rakan artis juga mendoakan kebahagiaan mereka sekeluarga.

Selamat ulang tahun buat isteri Achey. Moga umur diberkati dan dimurahkan rezeki selalu.

Sumber: Instagram

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'