Siakap Keli

Utus Surat Kepada PM India, Lelaki Pakistan Ini Tawar 50 Ambulans Miliknya Untuk Bantu Bawa Pesakit COVID-19

Seperti yang dilaporkan menerusi artikel sebelum ini, India pada ketika ini sedang mengalami krisis pandemik COVID-19 yang terburuk sejak ia bermula pada 2019 lalu.

Dengan hospital yang tidak mencukupi untuk menempatkan semua pesakit, sistem kesihatan di negara itu dilihat telah ‘lumpuh’.

Krisis di sana juga telah menarik perhatian dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat yang mengatakan akan menghantar bantuan kepada India dalam waktu yang terdekat.

Tidak cuma itu, seorang lelaki dari Pakistan dilaporkan menawarkan untuk menghantar 50 ambulans dan staf sokongan ke India.

Menurut The New Indian Express, lelaki yang dikenali sebagai Faisal Edhi itu mempunyai organisasi kebajikan iaitu Pakistan Edhi Welfare Trust yang cukup terkenal di negara itu.

Faisal dikatakan telah menghantar surat kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi bagi menawarkan bantuan itu dan mengatakan bahawa organisasinya sentiasa mengikuti perkembangan COVID-19 di India.

“Kami sangat sedih mendengar mengenai kesan besar yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 di negara India di mana sejumlah besar orang ramai menderita,” katanya.

Faisal yang menawarkan diri untuk memimpin pasukan ke India mengatakan bahawa organisasinya bersimpati dengan orang India dalam masa-masa sukar ini dan mereka mampu untuk menghantar 50 ambulans dan kakitangan untuk membantu orang India.

Kisah kebaikannya itu juga telah tular di media sosial. Orang ramai memuji Faisal yang dikatakan meneruskan legasi bapanya, Abdul Sattar Edhi, dalam membantu orang yang memerlukan.

Sumber: The New Indian Express

Sofea

There's always another side to every story