Seorang pengemudi ojek online (Ojol) atau perkhidmatan e-panggilan kehilangan anak lelakinya setelah menyantap sate dari wanita misteri. Kejadian tragis ini berlaku di wilayah Bantul, Indonesia awal minggu ini.
Menurut Tribunnews, Bandiman, pengemudi Ojol, menghantar pesanan sebungkus sate secara offline dari seorang wanita misteri kepada penerima yang bernama Tomy.
“Seorang wanita menghampiri saya dan meminta tolong menghantar pesanan ke daerah Kasihan, Bantul. Saya minta dia memakai aplikasi saja, tapi wanita itu beralasan tiada aplikasi Ojol,” kata Bandiman kepada Tribunnews.
“Wanita itu berpesan, bungkusan tersebut dikirim atas nama Hamid,”tambahnya.
Setibanya Bandiman di rumah penerima, Tomy, pemilik rumah menyangkal bahawa dia memesan sate bakar tersebut.
Tomy yang enggan menerima pesanan misteri itu kemudian memberikannya kepada Bandiman untuk juadah berbuka.
Sampai di rumah, Bandiman sekeluarga menjamu sate bakar itu dengan berselera sebelum anak lelakinya mengadu bahawa sate tersebut pahit.
“Masa saya makan tak ada apa-apa. Rupanya racun itu ada dalam kuahnya. Anak saya kata kuah itu pahit. Dia lalu ke dapur dan muntah-muntah, begitu juga dengan isteri saya,” jelas Bandiman kepada Tribunnews.
Kerana panik, Bandiman membawa anaknya yang tak sedarkan diri ke hospital terdekat.
Malangnya, kanak-kanak lelaki itu meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Hasil pemeriksaan makmal mendapati, racun yang digunakan dalam kuah sate itu lebih kuat dari racun yang digunakan dalam pertanian, lapor Tribunnews.
Sumber: Tribunnews