Siakap Keli

(Video) Detik-detik Cemas Van Keselamatan Ditembak Bertalu-talu Dalam Cubaan Rompakan, Buat Ramai Kecut Perut Tengok

Bagaikan adegan dalam filem aksi, sebuah van keselamatan yang membawa wang dilaporkan telah menjadi sasaran penyerang di jalan raya di Afrika Selatan.

Video rakaman kejadian tersebut telah tular di media sosial sejak beberapa hari yang lalu. Menerusi video yang dirakam dari dashcam itu, dapat dilihat dua orang pengawal keselamatan yang bertugas menghadapi detik cemas ketika van mereka ditembak.

Dengan keadaan van yang dilanggar dan tingkap mengalami keretakan yang teruk, pemandu dilihat mengawal van tersebut dengan sangat tenang.

Pada awalnya, pemandu itu seperti menyedari sesuatu yang ‘aneh’ ketika melihat cermin belakangnya. Dia dilihat sempat melirik beberapa kali tetapi tidak mengatakan apa-apa.

Tidak lama selepas itu, tingkap sebelah pemandu telah ditembak dan mengalami keretakan yang teruk.

Sebuah kereta dilihat memecut dengan laju di tepi dan menembak van itu. Tidak cuma itu, suspek juga telah melanggar bahagian sisi van tersebut tetapi ia dikawal dengan baik oleh pemandu.

Dalam keadaan itu, pengawal yang berada di sebelah pemandu mengeluarkan pistol dan senapang automatik bagi bersiap sedia untuk segala kemungkinan.

Tiba-tiba mereka menyedari bahawa ada kenderaan kedua iaitu trak putih meluru ke arah mereka dan melanggar van tersebut di bahagian penumpang.

Pun begitu, pemandu dilihat tetap tenang dan membawa van dengan stabil.

“Mereka mengejar kita…mereka mengejar kita. Hubungi Robbie, hubungi Josh, tanyakan kepada mereka di mana mereka berada,” kata pemandu pada pengawal yang berada di sisinya.

Dia kemudian membuat pusingan U dengan cepat sebelum memecut dan menghentikan kenderaan. Dia mengambil senapang dan keluar dari kenderaan itu.

Jurucakap polis, Brigadier Vishnu Naidoo mengesahkan bahawa cubaan merompak yang dilakukan oleh sekumpulan lelaki itu berlaku pada 22 April yang lalu di Pretoria, lapor News24.

Menurut portal Too Fab, kejadian itu tidak terlalu mendapat liputan berita di Afrika Selatan kerana kejadian seperti itu adalah kejadian biasa di sana.

Suspek melarikan diri tanpa mengambil wang tunai dan setakat ini masih belum ada tangkapan yang dibuat.

Sumber: News24,Too Fab

Sofea

There's always another side to every story