Siakap Keli
Gambar: TurkMedia

Terselamat Dalam Kemalangan, Lelaki Ini Dirikan Solat & Sujud Syukur Sebelah Kereta Remuk, Buat Ramai Tersentuh Hati

Kemalangan boleh membunuh. Malang pula memang tidak berbau. Semua orang pasti berasa takut dengan kemalangan yang berlaku tanpa diduga, sama ada di jalan raya atau di mana sahaja.

Kalau seseorang mangsa itu terkorban, tiada apa lagi yang boleh diselamatkan. Namun jika mangsa itu masih bernyawa dan sempat diselamatkan, biasanya mereka akan dikejarkan ke hospital dalam kadar segera.

Namun apa yang berlaku di Turki ini memang menyentuh hati kita semua. Baru-baru ini tular di media sosial tentang kes kemalangan jalan raya yang berlaku di negara Uthmaniah ini.

Berdasarkan foto-foto yang tular, kemalangan itu dipercayai berlaku di wilayah Aydin, bertempat di satu kawasan jalan raya yang berbukit dan agak sepi daripada tumpuan awam, manakala mangsa pula melibatkan seorang lelaki dewasa.

Gambar: TurkMedia
Gambar: TurkMedia

Kereta berwarna kelabu yang dinaikinya didapati remuk di bahagian pintu kiri dan cermin depan, dipercayai mungkin hilang kawalan dan terbabas. Mangsa pula dipercayai terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Namun apa yang begitu menyentuh hati adalah mangsa berkenaan didapati mendirikan solat di depan keretanya. Ketika itu pasukan penyelamat sudah pun tiba di lokasi kejadian bagi tindakan lanjut.

Berdasarkan petikan kapsyen di laman Twitter Turkmedia, lelaki itu dikatakan mendirikan solat sunat dan sujud syukur kepada Allah SWT kerana dirinya masih hidup dan terselamat dalam nahas tersebut.

“Seorang insan yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Aydin, tapi tidak tercedera dan terkorban. Jadi dia dirikan solat untuk mengucapkan rasa bersyukur kepada Allah kerana dia terselamat dalam nahas itu,” lapor ciapan tersebut.

Foto-foto tersebut tular dan mendapat perbualan hangat dalam kalangan netizen, rata-rata memuji tindakan lelaki ini yang tidak ‘melupakan’ Penciptanya setelah menyedari dirinya masih bernyawa.

Sungguh apa yang berlaku ini memang menjentik hati dan akal kita semua bahawa Allah Taala itu Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani. Jadilah insan yang bersyukur akan kehidupan yang dinikmati seperti lelaki ini.

Gambar: TurkMedia
Gambar: TurkMedia

Sumber: Twitter TurkMedia

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'