Siakap Keli
bahaya bom fosforus putih

Ini Sebab Bom Fosforus Putih Bahaya Terhadap Manusia

Ini Sebab Bom Fosforus Putih Bahaya Terhadap Manusia

Mungkin ada yang belum tahu, salah satu senjata ketenteraan yang digunakan dalam peperangan adalah penggunaan white phosphorus. White phosphorus atau fosforus putih adalah sejenis bahan kimia yang digunakan dalam peluru, bom, roket atau motar, biasanya digunakan bagi mengaburkan operasi ketenteraan di darat.

Apabila bahan kimia ini dilepaskan (dibakar) di tanah ataupun ruang udara, ia akan mengeluarkan asap putih bagi tujuan mengesan sebarang pergerakan pihak musuh. Selain itu, asap putih itu juga dikatakan mampu mengaburi pengesan infra-merah dan sistem pengesanan senjata (weapon-tracking system) pihak musuh, jadi sudah tentu tentera yang menggunakannya akan ‘terselamat’ daripada dibedil daripada peluru berpandu.

Mengikut undang-undang antarabangsa, penggunaan white phosphorus di kawasan terbuka (darat & medan perang) adalah dibenarkan. Bagaimanapun jika ia digunakan sebagai bom yang diletupkan di ruang udara di kawasan populasi penduduk, tindakan itu adalah satu kesalahan dan boleh dianggap sebagai jenayah perang.

Hal ini kerana letupan bom yang mengandungi asap putih itu berupaya menyebabkan penduduk yang tidak berdosa terkesan dan berisiko untuk mati. Apatah lagi ia sejenis bahan kimia yang berbahaya, dilepaskan ke udara secara rambang dan sangat terdedah kepada orang awam.

Kenapa bom white phosphorus berbahaya?

Fosforus merupakan sejenis unsur bukan logam yang bervariasi jenis dan strukturnya. Antara yang sering dijumpai adalah fosforus merah dan fosforus putih, manakala yang jarang ditemui pula adalah fosforus violet dan hitam. Antara kesemua jenis fosforus ini, dikatakan fosforus putih (white phosphorus) adalah jenis fosforus yang paling berbahaya, khususnya kepada manusia.

Sekumpulan pengkaji kimia, Nile Red pernah menjalankan eksperimen ke atas bahan fosforus putih ini. Difahamkan, tujuan eksperimen ini dijalankan adalah untuk menunjukkan bahawa betapa bahayanya fosforus putih ini terhadap manusia.

Pada awal eksperimen, seketul fosforus putih telah direndam terlebih dahulu di dalam air. Kemudian, ia dikeluarkan dan diletakkan di atas tapak eksperimen. Pengkaji memotong sebahagian kecil fosforus berkenaan. Difahamkan, berlaku sedikit tindak balas kimia apabila strukturnya agak lembut dan mudah dipotong sebelum ia kembali mengeras dan berderai.

Setelah dipotong, bahagian dalamnya mengeluarkan sedikit asap putih (phosphorus pentoxide). Ia adalah tindak balas kimia yang berlaku apabila fosforus putih itu bertindak dengan oksigen dalam air sebelum itu. Dikatakan phosphorus pentoxide ini sangat berbahaya kerana apabila ia diletakkan dalam air, ia akan berubah (kimianya) menjadi asid fosforus.

Eksperimen ‘sebenar’ bermula apabila sebahagian fosforus yang dipotong tadi diletakkan dalam bekas kaca. Pengkaji menyalakan sedikit api dan membakar ketulan fosforus putih tersebut. Setelah beberapa saat dibakar, kelihatan api mula menyala dan membakar fosforus putih itu terbakar dengan sempurna.

Setelah beberapa saat, fosforus yang terbakar itu ditutup sebentar dengan sebuah bekas kaca lain untuk menghalang oksigen (pembakaran). Ternyata ia ‘terpadam’ sekejap. Namun setelah bekas kaca penutup itu dialihkan semula, fosforus putih berkenaan kembali terbakar seperti sediakala. Malah lebih mengejutkan, apinya kini dipercayai lebih marak berbanding tadi.

bahaya bom fosforus putih

Walaupun telah ditutup, ia tetap terbakar semula. Fosforus putih yang terbakar ini akan kembali menyala secara spontan apabila berada pada suhu kepanasan 30 darjah Celcius. Malah dikatakan ianya sangat sukar untuk dipadam. Inilah risiko bahaya yang dibuktikan dalam eksperimen, sekiranya bahan kimia ini terdedah secara langsung terhadap manusia.

Eksperimen diteruskan, pengkaji menutup semula pembakaran tadi. Kali ini sedikit air dititiskan ke dalam bekas tersebut dengan bertujuan untuk ‘memadam’ api dan kepanasan yang menyala tadi. Benar, setelah beberapa ketika, api yang membakar fosforus tadi telah pun terpadam. Namun ‘nyawanya’ tidak tamat di situ.

bahaya bom fosforus putih

Selepas dibiar terbuka seketika, sisa-sisa fosforus yang sudah ‘sejuk’ tadi kembali mengeluarkan asap putih. Ternyata ia masih belum terpadam sepenuhnya. Dalam beberapa saat sahaja, asap putih yang perlahan-lahan keluar itu mula ‘membesar’ dan akhirnya api telah menyala semula seperti asal. Bayangkan betapa bahayanya jika fosforus ini ‘terkena’ pada kita.

Walapun telah ditutup, apinya tidak akan padam. Sekalipun sudah disimbah air, asapnya masih ada dan bersedia untuk kembali berapi pada bila-bila masa. Jika anda cuba untuk memadamkannya pun, ia tetap akan kekal menjadi racun yang berbahaya. Tidak hanya sukar dipadam, malah dikatakan apabila anda menyimbah air yang banyak kepadanya, ia didakwa akan lebih merebak berbanding asal.

Eksperimen ini juga turut dijalankan ke atas seketul daging, mahu menunjukkan ‘perumpamaan’ kesan buruk fosforus putih terhadap kulit, tubuh dan daging manusia. Langkahnya tetap sama, seketul fosforus putih dibakar dengan api, kemudian diletakkan di atas daging tersebut. Selang beberapa ketika, ia mula terbakar dengan marak.

Pengkaji cuba menutupnya sebentar dengan sebuah bekas kaca (seperti eksperimen tadi), ternyata pembakarannya terhenti. Namun apabila dibuka semula, api yang terhenti tadi mula membakar semula. Malah ia juga turut mengeluarkan asap putih yang lebih banyak berbanding pembakaran pertama.

Kesimpulannya, eksperimen ini membuktikan bahawa fosforus putih memang sangat berbahaya dan sukar untuk ditangani, apatah lagi jika ia dijadikan sebagai senjata dalam peperangan. Bagi kefahaman yang lebih jelas, anda boleh tonton video penuh ekperimen Nile Red di pautan di bawah ini.

Sumber: Youtube Nile Red / Human Right Watch 

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'