Siakap Keli
Gambar: Odditycentral

Umur Hanya Nombor, Nenek 70 Tahun Ini Berjaya Tamatkan Lebih 100 Marathon Selama 20 Tahun, Digelar ‘Super Grannie’

Seorang wanita Cina berusia 70 tahun telah digelar sebagai “Super Grannie” setelah didedahkan bahawa dia seorang penggemar larian yang berjaya melengkapkan 100 maraton dalam dua dekad terakhir, lapor Odditycentral.

Sebilangan besar orang memilih untuk bersantai setelah bersara, namun tidak bagi Wang Guilan yang berasal dari Liaoning ini. Dia telah memulakan larian seawal usia 50 tahun bagi mengekalkan kesihatan tubuh badan, namun segera menyedari bahawa itu adalah minatnya.

Maraton pertamanya adalah pada tahun 2004 dan tidak berhenti sejak itu. Kini, dia telah mengumpulkan lebih 100 pencapaiannya dalam ber-maraton. Dari tahun 2005 sehingga 2017, dia berjaya menyelesaikan Maraton Beijing tahunan sebanyak 13 kali. Namun, tahun ini Wang Lang telah mencipta rekod baru sebagai pelari tertua yang pernah menyelesaikan maraton Liaoning sepanjang 168 km, dalam tempoh 40 jam.

Menurut sumber, seorang pelari berusia 20-an berkata, “wanita ini seusia dengan nenek saya, bagaimana dia boleh berlari dengan pantas?“. Kejadian itu dilihatnya di acara maraton Liaoning pada bulan April, Wang berjaya menghabiskan lariannya.

Ini merupakan kali kedua dia bertanding dalam perlumbaan. Tahun sebelumnya, dia memutuskan untuk mendaftarkan diri dalam versi maraton sejauh 110 km, dan berlari bersama rakan baiknya. Dia dilaporkan menunggu rakannya sekitar 5-6 jam sehingga mereka dapat melintasi garisan penamat bersama-sama. Walau bagaimanapun, tahun ini dia memasuki maraton sendirian, dan memilih jarak terpanjang yang mungkin.

Jadi, bagaimana seorang yang berusia 70 tahun tetap berada dalam keadaan sihat untuk menyelesaikan maraton berbanding mereka yang separuh umurnya? Menurut Sina iaitu agensi berita China, Wang berjalan sekurang-kurangnya 20 kilometer selama enam hari seminggu.

Pada hari Ahad pula dia berjalan lebih jauh bersama anggota kelab larian jarak jauhnya. Wang lebih suka berlari di laluan gunung di Liaoning. Namun, pada musim sejuk, apabila cuaca tidak mengizinkan, dia berjalan di jalan aspal.

“Rata-rata, setiap tahun, dia berlari selama 7 bulan di pergunungan dan 5 bulan di jalan raya,” lapor Sina.

Jelas portal, Wang juga peminat aktiviti pendakian gunung, dan turut serta dalam Festival Taishan International Mountaineering. Malah, dia berjaya menduduki tempat ke-27 daripada ribuan peserta. Dia pernah mengambil bahagian dalam cabaran ekstrem apabila dia harus berlari sebanyak 208 pusingan trek setelah berjaga selama 48 jam.

Hebatnya, Wang hampir tidak mengalami cedera pada lutut atau pergelangan kaki selama bertahun-tahun. Kelebihan ini dianggap daripada zaman kanak-kanaknya yang telah menguatkan tubuh dan semangatnya.

Namun, satu-satunya masalah serius adalah katarak yang mempengaruhi matanya. Oleh sebab itulah dia menyelesaikan maraton Liaoning dengan bantuan lampu depan bagi membantunya melihat jalan dengan lebih baik.

Wang sangat percaya bahawa usia hanyalah angka. Dia merancang untuk terus berlari maraton dan menikmati matahari terbenam dalam hidupnya selama kesihatannya masih mengizinkan.

Sumber: Odditycentral

Nurul Nabila