Siakap Keli

Bukan Saja Letak, Rupanya Ini Maksud Barcode Di Produk & 3 Nombor Awalnya, Boleh Tahu Dari Negara Mana

Selain tanda harga, pasti anda sedar mengenai kewujudan barcode yang tertera di setiap barangan. Seperti yang diketahui, barcode tersebut berfungsi ketika di kaunter pembayaran, cashier akan mengimbas barcode bagi setiap barangan.

Pun begitu, pernahkah anda tertanya-tanya mengenai maksud sebenar nombor-nombor yang ada pada barcode tersebut? Nombor tersebut sebenarnya mempunyai maksud yang tersendiri, ia berkait dengan produk atau barangan yang dibeli oleh anda.

Untuk pengetahuan anda, ia digunakan untuk mengekod maklumat seperti nombor produk, nombor siri dan nombor batch.

Barcode memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan yang membolehkan pihak seperti peruncit, pengeluar, penyedia pengangkutan dan hospital dapat mengenal pasti dan mengesan produk secara automatik ketika mereka bergerak melalui rantaian bekalan.

Ia biasanya dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Universal Product Code (UPC) dan European Article Number (EAN). UPC merupakan produk yang biasanya diseragamkan di AS, manakala EAN pula merupakan kod produk yang diseragamkan di Eropah berdasarkan UPC.

Menurut Mental Floss, kebanyakan produk runcit di AS dan Kanada mempunyai UPC dengan jumlahnya terdiri daripada 12 digit. Digit pertama menunjukkan kategori mana dimasukkan, contohnya nombor 3 yang menunjukkan bahawa ia merupakan item yang berkaitan dengan kesihatan. Manakala, nombor 2 pula digunakan untuk produk berat tertentu seperti daging.

Lima digit berikutnya pula menerangkan mengenai syarikat mana yang mengeluarkan produk tersebut. Biasanya terdapat ruang antara nombor itu dan potongan lima digit berikutnya yang sesuai dengan produk tertentu.

Tidak cuma itu, digit akhir pula yang disebut sebagai check digit, digunakan komputer untuk mengesahkan bahawa semua nombor lain dalam kod telah diimbas atau dimasukkan dengan betul. Check digit ini dikira dari formula yang menggunakan semua nombor yang disenaraikan sebelumnya.

Kebiasaannya, proses untuk mencipta barcode ini akan diluluskan oleh syarikat GS1. Melihat contoh di Jepun, kod JAN (Japan Article Number) yang terdiri daripada 13 digit dalam versi standard dan 8 digit dalam versi yang dipendekkan juga mendapat kelulusan dari GS1.

Komposisi kod produk adalah umum dan setiap negara mempunyai kod yang tersendiri seperti 49 dan 45 di Jepun.

Menurut Denso, Kod Awalan Syarikat (Company Prefix) GS1 diperoleh oleh setiap pengeluar dengan membuat permohonan ke Institut Penyelidikan Sistem Pengedaran (GS1 Jepun) melalui Dewan Perdagangan dan Industri setiap perbandaran atau wilayah.

Kod item bagi setiap produk juga akan ditentukan oleh setiap pengeluar, sama dengan kod produk.

GS1 juga menguruskan beberapa jenis barcode. Setiap darinya direka untuk digunakan dalam situasi yang berbeza.

Menerusi portal GS1 sendiri, terdapat beberapa senarai kod nombor awalan di setiap negara. Kod awalan ini biasanya mempunyai tiga nombor dan setiap syarikat anggota GS1 boleh mengeluarkan produk di mana sahaja di seluruh dunia.

Dari 000 hingga ke 900 lebih, ia mewakili pelbagai negara. Bagi Malaysia, kod awalan yang biasanya digunakan adalah 955. Anda boleh melihat senarai awalan kod bagi setiap negara DISINI.

Sumber: Mental Floss, Denso, GS1

Sofea

There's always another side to every story