Siakap Keli

(Video) Risiko Bahaya Menanti, Tindakan Pantas Dua Abang ‘Rider’ Kutip Benda Dipercayai Paku Atas Jalan Dipuji Netizen

Biasanya di jalan raya, banyak benda-benda berbahaya yang bertaburan di atas permukaan jalan. Kalau di lebuhraya misalnya, kerap kita terlihat serpihan-serpihan tayar lori yang pecah di tengah-tengah jalan.

Tidak kurang juga, banyak kes kita dengar alatan tajam seperti paku yang berselerak di jalan. Tidak diketahui apa puncanya; sama ada memang terjatuh daripada kenderaan atau ada unsur khianat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Sebagai pengguna jalan raya yang berhemah, sekiranya kita ternampak ada sesuatu yang menghalang perjalanan, adalah lebih baik untuk kita ringankan tulang bantu alihkan halangan tersebut.

Seperti apa yang berlaku dalam rakaman video ini, kelihatan seorang penunggang motosikal yang berhenti di persimpangan lampu isyarat menyedari akan ‘sesuatu’ yang bertaburan di hadapannya.

Tanpa berfikir panjang, terus lelaki ini turun dari motosikalnya dan mengutip benda tersebut. Tidak lama selepas itu, datang pula abang ‘rider’ Grabfood dan turut sama membantu mengutip benda berbahaya dipercayai paku-paku yang berselerakan di situ.

Mujur abang berdua ini sudi bantu kutip paku tersebut. Kalau tidak, mungkin pemandu dan pemilik kenderaan yang merakam ini tidak menyedarinya. Silap hari bulan, tayar kereta dan kenderaan lain di belakang akan bocor pula.

Video yang dikongsikan oleh laman Twitter @Anthraxxxx ini telah ditonton sebanyak 15,000 kali serta menerima pelbagai ulasan daripada netizen. Rata-rata mereka memuji tindakan pantas abang ‘rider’ berdua ini.

Tindakan mengalihkan halangan di atas jalan ini sebenarnya pernah disebut oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya. Daripada Abi Hurairah RA mengatakan bahawa Baginda SAW bersabda (yang bermaksud);

“Aku telah melihat seseorang yang bersenang-senang di dalam syurga kerana dia telah membuang kayu yang berjuntai di jalan dan kayu tersebut mengganggu orang yang lalu.”

(Hadis riwayat Muslim: No. 1,914).

Semoga tindakan abang berdua ini mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi-Nya. InsyaAllah.

Sumber: Twitter @Anthraxxxx / Tzkrh.com

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'