Siakap Keli

Guru Wanita Rugi Lebih RM63,000 Ditipu ‘Love Scam’

ALOR SETAR, 2 Jun – Seorang guru wanita kerugian lebih RM63,000 akibat diperdaya sindiket Love Scam selepas berkenalan dengan seorang lelaki menerusi media sosial Instagram, April lepas

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Supt Elias Omar berkata mangsa berusia 43 tahun dan tinggal di Sik itu berkenalan dengan suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Mohammed Zamzuree’ kononnya dari United Kingdom.

“Mangsa yang telah bercerai mula berkenalan dengan suspek melalui media sosial itu sebelum berhubung melalui aplikasi WhatsApp sejak April hingga bulan lepas.

“Selepas itu, suspek memaklumkan bahawa dia ada mengirim beberapa barangan iaitu beg tangan, kasut, jam tangan, satu set perhiasan dan telefon bimbit kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Elias berkata mangsa kemudian telah dihubungi oleh seorang individu mengaku sebagai Pegawai Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang meminta mangsa membuat bayaran cukai dan denda bagi melepaskan barangan dikirim oleh suspek.

“Mangsa yang percaya telah membuat tujuh transaksi pindahan wang secara dalam talian berjumlah RM63,440 ke dalam satu akaun bank diberikan suspek. Kesemua wang berkenaan adalah wang simpanan milik mangsa,” katanya.

Elias berkata mangsa menyedari dirinya ditipu selepas menceritakan perkara itu kepada seorang ahli keluarganya sebelum bertindak membuat laporan polis di Kuala Nerang pada 31 Mei lepas dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya atau percaya dengan pujuk rayu daripada individu yang tidak dikenali bagi mengelak diri daripada menjadi mangsa penipuan love scam ini.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang