Setiap negara mempunyai makanan tersendiri yang diolah mengikut gaya hidup masyarakat masing-masing. Jika di Malaysia, sebahagian kita terbiasa menjadikan lebihan nasi dan lauk semalam sebagai menu sarapan, nasi goreng. Ia adalah salah satu cara penjimatan yang diamalkan zaman berzaman.
Di Filipina pula, cara mereka sedikit berbeza. Keadaannya agak ekstrem di mana sebahagian masyarakat miskin di sana menggunakan lebihan makanan yang dikutip dari tong sampah untuk dijadikan hidangan.
Dengan lebih 17 juta penduduk miskin (Philippine Statistics Authority, 2018), menu dipanggil Pagpag ini merupakan antara hidangan yang terkenal dalam kalangan penduduk mereka yang hidup dalam kesusahan. Menurut BBC, sisa daging atau lauk daripada restoran diambil dan dibasuh sebelum dimasak semula oleh penduduk termiskin untuk dimakan.
“Kami panggil ini Pagpag. Setiap malam, trak akan datang membuang pelbagai jenis sampah. Kertas, cawan plastik, bekas styrofoam dan lebihan makanan,” ujar salah seorang penduduk tempatan, Ate Rose.
BACA: Baru Tahu, Rupanya Ada Kedai Makanan Melayu Di Tokyo
“Pertamanya, semua barangan yang tidak boleh dimakan dipisahkan daripada makanan untuk dikitar semula. Kemudian, makanan yang boleh dimakan akan dibawa ke sini bagi diasingkan oleh orang-orang tua untuk dijadikan pagpag pada kemudian hari,” katanya.
Malah, ada yang menjadikan menu itu sumber pendapatan dengan menjual makanan tersebut kepada penduduk setempat.
Salah seorang penduduk yang menjalankan perniagaan pagpag, Mama Rosita berkata, makanan tersebut dicuci dengan bersih dan terjamin keselamatannya untuk dimakan. Jelasnya, dia tidak menerima sebarang rungutan terhadap makanan yang telah dijualnya.
“Mungkin sebahagian individu berkata, “makanan ini datang dari sampah”. (Tapi) ia bersih. Saya pastikan untuk mencucinya dengan baik.
“Lagipun, jika ia betul-betul berbahaya, sudah tentu saya menerima banyak rungutan, tetapi tiada. Jadi saya jamin makanan ini selamat,” katanya kepada Asian Boss.
BACA: Anda Boleh Dapat Bekalan Runcit Percuma Selama 6 Bulan, Ini Caranya
Sumber: Asian Boss, Philippine Statistics Authority, BBC, Pepper.ph