Siakap Keli

“Kucing Saya Pencuri”, Pemilik Terpaksa Buat ‘Amaran’ Kat Jiran, Hati-hati Dengan ‘Si Bulusnya’ Yang Kuat Mencuri

Seorang wanita terpaksa membuat papan tanda amaran kepada jiran-jirannya agar berhati-hati dengan kucingnya yang suka mencuri. Ya, MENCURI.

Kate Felmet yang tinggal di Oregon berkata, si bulusnya yang bernama Esme itu selalu ‘buat perangai’ menjalankan misi mencuri di rumah-rumah jiran di sekitar mereka.

‘Geram’ dengan perangai Esme, Kate terpaksa meletakkan papan tanda amaran di halaman rumahnya yang bertulis, “Kucing saya pencuri. Sila ambil semula barang ini jika ia adalah milik anda.”

Menariknya, Esme bukan mencuri ikan, makanan dan apatah lagi duit, tapi satu-satunya benda yang menjadi sasarannya ialah sarung tangan dan pelitup muka.

Jelas Kate, Esme mencuri benda-benda itu di laman rumah dan garaj jiran-jirannya, selain beberapa tempat di lokasi lain sebelum membawa pulang dan menunjukkan kepadanya dengan penuh ‘bangga’.

Semua hasil curian Esme terpaksa digantung di depan rumah agar mana-mana pemilik barangan tersebut boleh mengambil semula kepunyaan mereka, namun berlaku pula masalah lain.

“Sebaik saja saya meletakkan papan tanda itu, Esme langsung tidak bawa pulang apa-apa ‘hasil’ curi yang lain selama seminggu. Dia macam marah saya berbuat begitu,” katanya, seakan-akan Esme ‘faham’ tentang amaran tersebut.

Ramai jirannya menyedari amaran itu, kebanyakannya berjaya mendapatkan semula barangan mereka yang pernah lesap dicuri seekor penjenayah berbulu selama ini, iaitu ‘Esme The Thief’.

Sumber: Indy100

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'