Siakap Keli
Gambar: Daily Mail

Nak Hargai Pekerjaannya, “Web Developer” Ini Namakan Anaknya Dengan Nama ‘HTML’

Satu perkongsian di Facebook berkenaan nama unik seorang bayi yang baru lahir di Filipina menjadi tular di media sosial.

Hypertext Mark-up Language Rayo Pascual atau secara ringkasnya HTML, telah diperkenalkan kepada dunia menerusi perkongsian di akaun Facebook ibu saudaranya pada Khamis lalu.

Bapa kepada bayi tersebut yang bernama Mac Pascual, seorang web developer, adalah lelaki yang bertanggungjawab memilih nama unik yang diilhamkan sempena profesionnya itu.

Dia memberitahu laman berita askirer.net bahawa nama-nama yang luar biasa itu sudah menjadi lumrah dalam keluarganya sambil menjelaskan bahawa namanya sendiri sebenarnya diilhamkan daripada Macaroni 85.

Dia menyatakan bahawa salah satu nama sebenar adik perempuannya adalah Spaghetti 88 dan mendakwa dua orang anak kepada adiknya itu adalah Cheese Pimiento dan Parmesan Cheese. Namun mereka lebih selesa menggunakan Chippy dan Peewee sebagai nama panggilan mereka.

Inquirer.net melaporkan bahawa HTML dilahirkan dengan berat 2.25 kilogram di Bulacan Medical Mission Group Cooperative Hospital dan berada dalam keadaan sihat.

Ibunya, Salie Rayo Pascual, memberitahu laman web bahawa dia gembira menyambut anaknya itu dan menyatakan saudara-maranya turut gembira dengan pilihan nama tersebut.

Ibu saudara HTML, Sincerely Pascual atau nama penuhnya Sincerely Yours Pascual telah berkongsikan beberapa gambar anak buahnya yang baru lahir itu di Facebook dengan menulis: “Selamat datang ke dunia HTML.”

Perkongsian tersebut telah dikongsi sebanyak 9 ribu kali oleh warganet.

Warganet yang melihat perkongsian itu turut menuliskan komen-komen yang melucukan.

“Bayi itu akan menggodam Pentagon, Ianya dah ditakdirkan dalam namanya,” tulis seorang warganet.

Sebilangan warganet turut mencadangkan beberapa nama yang berasaskan komputer untuk bayi yang bakal dilahirkan: “Results-based management system’,  ‘JavaScript’ atau ‘Cascading Style Sheets (CSS)’

Ada juga yang khuatir bahawa pilihan nama yang unik itu akan menyusahkan bayi tersebut di masa hadapan.

“Di masa hadapan, dia mungkin akan diejek dan menjadi sasaran kaki buli,” tulis seorang warganet.

“Ibu bapa harus peka dan bertanggungjawab dalam pemilihan nama anak mereka…ianya untuk identitinya dan akan dipakai seumur hidup. Mengapa buat dia menderita…itu sebenarnya bukan nama manusia,” komen yang lain.

Pengguna Facebook yang lain berkata: “Sekiranya saya adalah bayi itu, saya akan memfailkan saman terhadap ibu bapa saya suatu hari nanti.”

HTML kini telah menjadi antara nama bayi unik yang telah menarik perhatian ramai orang.

CEO Tesla, Elon Musk dan penyanyi Grimes telah menarik perhatian ramai orang apabila mengumumkan nama anaknya sebagai X Æ A-12 Musk pada Mei tahun lalu.

17 tahun yang lalu, pelakon Gwyneth Paltrow dan penyanyi Chris Martin menjadi tajuk utama kerana menamakan anak perempuan mereka sebagai Apple.

Sementara itu bintang Hollywood iaitu Beyonce dan Jay Z turut menarik perhatian pada tahun 2012 kerana memilih nama Blue Ivy untuk anak pertama mereka.

Sumber: Daily Mail

Aqmal Ezany

I write what is right

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.