Siakap Keli
Foto: Sinar Harian

Pemandu Jengkaut Maut Dihempap Jentera Berat Yang Dipandu

ALOR GAJAH, 21 Jun – Seorang pemandu jengkaut yang baharu hari pertama kembali bekerja, maut selepas dihempap jentera berat itu yang terbalik di satu kawasan kebun di Jalan Solok Air Besar, Kampung Brisu di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata ketika kejadian, mangsa, Mohamad Sabirin Umar, 29, dipercayai sedang meratakan tanah pertanian di kawasan berkenaan kira-kira pukul 3.15 petang tadi.

Beliau berkata bapa kepada seorang anak berusia setahun lebih itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mangsa ditemukan maut di tempat duduk pemandu jengkaut berkenaan dalam keadaan meniarap dan kepalanya tersepit di bahagian bumbung jentera tersebut.

Mangsa baharu memulakan pekerjaan sebagai pemandu jengkaut hari ini setelah lama tidak bekerja kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata mayat mangsa dikeluarkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah berlaku dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk siasatan lanjut serta ujian calitan COVID-19 juga sebelum bedah siasat dilakukan esok.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Melaka Penguasa Kanan Bomba II Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.52 petang sebelum sampai di lokasi kejadian kira-kira enam minit kemudian dengan satu jentera dan sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan kekuatan 10 anggota.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan kerja-kerja mengeluarkan mayat mangsa mengambil masa kira-kira 20 minit,” katanya.

— BERNAMA

Edayu

Lebih banyak menulis dari bersembang