Siakap Keli
Gambar: Nagpurtoday

Buat Laporan Suami Mati, Wanita Dilapor Kantoi Bunuh Suaminya Sendiri Dengan ‘Belajar’ Dari Carian Google

Seorang wanita sanggup membunuh suaminya sendiri dengan mencari cara membunuh dan membuang mayat melalui carian di Google. Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada Jumaat lalu (18/6) di daerah Harda, negeri Uttar Pradesh, India.

Menurut portal Suara.com, wanita itu melaporkan kematian suaminya kepada polis dan mendakwa bahawa dia tidak mengetahui puncanya. Maka, polis pergi ke tempat kejadian untuk memeriksa dan melakukan siasatan.

Hasil siasatan, polis mendapati bahawa si suami telah bekerja di Maharashtra. Namun, akibat pandemik, dia mengalami masalah kewangan. Disebabkan krisis kewangan, si isteri bergantung pada lelaki lain untuk membantunya dan mereka menjadi semakin rapat.

Setelah berlaku ‘lockdown‘ di Maharashtra, si suami kembali ke rumahnya. Namun, kepulangan suaminya menyebabkan si isteri dan teman lelakinya terhalang untuk bertemu lalu mereka memutuskan untuk membunuhnya, lapor Suara.com.

Menurut polis, mangsa dipercayai menghidap asma dan selalu memakan ubat secara terkawal. Namun, si isteri didakwa telah menggantikan ubat asma suaminya dengan ubat lain lalu mengakibatkan si suami tidak menyedarkan diri.

Kemudian, si isteri dengan dibantu teman lelakinya itu telah membunuh mangsa pada waktu malam. Mangsa dilaporkan telah diikat tangan dan kakinya dengan selendang. Lalu, mangsa telah diserang dengan tukul sehingga mati.

Laporan yang dimaklumkan oleh wanita itu terhadap polis telah diselewengkan agar siasatan yang dilakukan tidak dapat ‘menghidu’ perbuatannya. Pada mulanya, kejadian tersebut dilihat seolah-olah seperti rompakan, namun polis mengesyaki wanita itu berdasarkan semua bukti di tempat kejadian.

Menurut sumber, polis telah meminta bantuan dari unit siber dan meminta maklumat panggilan suspek. Ketika sejarah panggilannya dikesan polis, mereka menemui banyak panggilan telefon antara suspek dengan teman lelakinya. Penemuan itu dikatakan semakin meningkatkan kecurigaan mereka.

Malah, setelah digeledah sejarah pencariannya di perincian Google, wanita itu didapati telah ‘mempelajari’ kaedah pembunuhan, cara mengikat tangan dan kaki, dan cara membuang mayat.

Setelah disoal siasat lebih lanjut, suspek mengakui bahawa dia dan teman lelakinya memang berniat untuk membunuh mangsa. Polis akhirnya merampas senjata yang digunakan, pakaian berlumuran darah, telefon bimbit, dan kain yang digunakan untuk mengikat mangsa.

Menurut SP Manoj Kumar Agrawal, kes tersebut dapat diselesaikan dalam masa 24 jam setelah kedua-dua suspek berjaya ditangkap. Kedua-dua defendan akhirnya telah didakwa di mahkamah dan dimasukkan ke dalam penjara.

Sumber: Suara.com

Nurul Nabila