Siakap Keli

Kisah Keluarga ‘Tarzan’, 43 Tahun Tinggal Dalam Hutan Sejak Sejak Perang Vietnam 1972 Sebelum Diselamatkan

Selepas ibu dan dua adik terbunuh dalam serangan bom tentera US semasa Perang Vietnam 1972 dulu, Ho Van Lang dan abangnya, Tri (ketika itu masih kecil) mengikuti ayah mereka melarikan diri ke dalam hutan belantara.

Gara-gara mahu terus hidup, mereka akhirnya tekad untuk tinggal terus di dalam hutan tersebut sehinggalah berpuluh-puluh tahun lamanya. Tanpa peralatan lengkap, mereka pun memulakan kehidupan baharu dan hutan itulah ‘dunia’ mereka.

Sehinggalah pada 2015 lalu, ‘persembunyian’ panjang mereka akhirnya terbongkar. Pihak keselamatan turun padang menyelamatkan serta membawa mereka keluar dari hutan itu dan buat pertama kalinya selepas empat dekad, mereka dapat ‘melihat’ dunia semula.

Kisah penemuan keluarga ‘Tarzan’ ini mendapat liputan antarabangsa. Ianya sungguh mengejutkan kerana selama lebih 40 tahun selepas perang tamat, masih ada rakyat Vietnam yang ‘tidak tahu apa-apa’ bahawa negara mereka sudah pun merdeka.

Gambar: AFP/Metro

Tidak tahu perempuan itu wujud

Mengimbas kembali, sepanjang lebih 40 tahun bersembunyi di dalam hutan, Ho Van Lang mengakui bahawa dia tidak tahu langsung akan kewujudan manusia berjantina perempuan.

Pada ‘pandangan’ matanya, dia hanya sempat melihat lima orang manusia sahaja sepanjang hayatnya (selama tinggal di hutan). Malah jika terserempak dengan manusia lain di hutan, dia akan melarikan diri.

Menjalani hidup di dalam hutan tebal yang jauh dari manusia bukanlah mudah. Selepas diselamatkan dan dibawa ke perkampungan Tay Tra di wilayah Quang Ngai pada 2015 lalu, barulah dia dapat melihat perempuan buat kali pertama.

Gambar: AFP/Metro

Difahamkan, sepanjang mereka bertiga tinggal di hutan, ayahnya langsung tidak pernah bercerita tentang perempuan. Sebab itulah dia langsung tidak tahu menahu apa-apa.

Merujuk pihak yang menemui mereka, Alvaro Cerezo, disebabkan Ho Van Lang tidak tahu ‘apa itu’ perempuan, lelaki itu dipercayai mungkin mengalami masalah seksual.

“Saya boleh katakan, Ho Van Lang tidak pernah mempunyai nafsu syahwat walaupun sedikit. Naluri seksualnya pun macam tiada,” katanya, memetik laporan Metro.

Masih fobia lepas empat dekad

Gambar: AFP/Metro

Ketika tahun pertama selepas dibawa keluar dari hutan, Cerezo mendakwa tiga beranak tersebut sangat kekok untuk menjalani kehidupan normal seperti manusia lain.

Malah Ho Van Lang sendiri terpaksa membiasakan imunisasi tubuhnya untuk menerima bakteria baharu di dunia luar, gara-gara sudah lama ‘terbiasa’ hidup bersama haiwan dan tumbuhan.

Bagaimanapun ayahnya pula dikatakan masih tidak mampu untuk melupakan tragedi berdarah yang meragut nyawa ibu dan adik-beradiknya. Ternyata trauma masih menghantui diri biarpun sudah lebih 40 tahun berlalu.

Tidak cukup dengan itu, ayahnya juga percaya bahawa Perang Vietnam masih belum tamat sampai ke hari ini. Sosok tua itu juga sangat berharap agar dapat kembali semula ke dalam hutan seperti dulu.

Kini, usia Ho Van Lang sudah menjangkau 49 tahun. Walaupun sudah enam tahun kembali ke dunia luar, dia masih lagi kekok dan tidak memahami sepenuhnya cara hidup serta sosial masyarakat Vietnam yang lain.

Berikut di bawah adalah barangan-barangan digunakan mereka sepanjang empat dekat ‘bermastautin’ di dalam hutan yang masih elok tersimpan hingga ke hari ini.

Gambar: AFP/Metro

Sumber: Metro

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'