Siakap Keli
Gambar: TikTok @faanaaaaaaaaa

“Tak Pernah Terlintas Dalam Kepala Nak Biarkan Anak Umur 3 Tahun Naik Ambulans Sorang-Sorang”

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Tiada ibu yang rela berpisah dengan anaknya. Kalau boleh, nak anak tu sentiasa berada di depan mata. Tak dapat dibayangkan perasaan seorang ibu bila terpaksa berjauhan dengan anak. Tambahan pula anak yang masih kecil dan belum mengerti apa-apa.

Begitulah dugaan yang terpaksa dilalui oleh wanita yang dikenali sebagai Fana ini. Video menyentuh hati yang diunggah di akaun TikToknya, @faanaaaaaaaaa ini mendapat sorotan warga net apabila ditonton 776.4 ribu kali di TikTok.

Dalam video tersebut, dapat dilihat dia menuntun tangan anaknya yang berusia tiga tahun ke ambulans untuk dibawa ke pusat kuarantin. Video ini mengundang sebak apabila ibu ini terpaksa melepaskan anak yang masih kecil menaiki ambulans seorang diri tanpa pengawasannya mahupun suami.

Fana ketika dihubungi berkata, anaknya, Fayyadh, menunjukkan simptom demam tiga hari lalu dan mendapat keputusan positif COVID-19 pada hari yang sama. Fayyadh kemudian dibawa pihak Kementerian Kesihatan ke MAEPS Serdang untuk dikuarantin bersama suaminya yang juga positif.

“Hari pertama dia okay, tapi hari kedua dia dah ajak balik.

“Saya dengan dia tak pernah berpisah, sebab saya surirumah dan dia 24 jam dengan saya.

Maybe dia dah start rindu saya,” kata Fana dalam nada sebak.

Fana yang juga positif dan sedang sarat mengandung 32 minggu kini ditempatkan di Hospital Sungai Buloh untuk pemantauan rapi dan mungkin akan dibersalinkan awal sekiranya mendatangkan risiko kepada bayi yang dikandung.

Dia juga menitip pesan kepada warga net untuk mendoakan kesihatannya beserta keluarga agar mereka cepat sembuh dan dapat bersatu semula.

@faanaaaaaaaaa

Tak pernah terlintas dalam kepala nak biarkan anak umur 3 tahun naik ambulans sorang-sorang. Tapi, anak ibu kuat! 💪🏻

♬ Allah Allah Aghisna – Nazwa Maulidia

Sumber: TikTok @faanaaaaaaaaa

Eyla Azri