Siakap Keli
Gambar: AP/The Sun

Kematian Presiden Haiti: Polis Sahkan Jovenel Ditembak 12 Kali & Sebelah Matanya Dicungkil Keluar

Semalam dunia digemparkan dengan tragedi pembunuhan tragis Presiden Haiti, Jovenel Moise yang ditembak mati di kediamannya dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 1 pagi.

Kediaman presiden itu di Port-au-Prince dilaporkan telah digempur dan dimasuki oleh sekumpulan lelaki bersenjata sebelum insiden tembakan tersebut berlaku di mana turut mencederakan isterinya.

BACA: (Video) Detik-Detik Cemas Dipercayai Saat Pemberontak Gempur Rumah & Bunuh Presiden Haiti Dirakam CCTV

Siasatan kes dijalankan dan pada hari ini, majistret, Carl Henry Destin mengesahkan bahawa mayat Jovenel ditemui dalam keadaan terbaring dengan kesan luka parah.

Gambar: Jovenel Moïse dan isterinya, Martine – EPA via The Sun

Difahamkan, sebanyak 12 butir peluru yang dilepaskan telah merobek tubuh Jovenel, selain sebelah biji matanya turut dicungkil keluar.

Selain itu, polis juga mengesahkan kumpulan pembunuh bersenjata yang dilihat ‘mahir’ merancang pembunuhan tersebut sempat melaung perkataan ‘DEA operation‘ semasa merempuh masuk.

Hakikatnya DEA Operation merujuk kepada operasi gempur ke atas jenayah dadah oleh Pasukan Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat.

Kelongsong peluru yang ditemui di lokasi kejadian | Gambar: AP//The Sun
Kawasan rumah Jovenel kini dikawal ketat oleh tentera | Gambar: AP/The Sun

Bagaimanapun polis menjelaskan, kumpulan tersebut yang turut menggeledah pejabat dan bilik tidur Jovenel sebenarnya adalah tentera upahan asing.

Jelas polis, bahasa yang digunakan mereka semasa menjalankan ‘operasi’ berkenaan adalah dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Sepanyol.

Sebanyak empat daripadanya telah dibunuh dan dua lagi ditahan. Pembunuhan mengejut yang dilakukan tentera upahan ini dipercayai menjadi kes pembunuhan berprofil tinggi.

Semasa hayatnya, Jovenel dikatakan memerintah Haiti secara kuku besi, selain turut terpalit dengan beberapa pertuduhan berkaitan kes rasuah.

Malah ada yang mendakwa, Jovenel selaku ketua negara gagal mengendalikan pandemik COVID-19 dengan baik hingga menyebabkan rakyatnya tertekan dan merusuh.

‘Kelembapan’ Jovenel terbukti bahawa Haiti dilapor masih belum pernah menerima ketibaan bekalan vaksin lagi setakat ini.

Sumber: Daily Mail / The Sun / REUTERS / The New Humanitarian

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'