Siakap Keli
Gambar: Ebit Lew

Saya Minta Maaf, Saya Maafkan Semua & Cukuplah Sampai Sini – Ebit Lew

Baru-baru ini, banyak kontroversi yang terpalit pada pendakwah terkenal negara, Ustaz Ebit Lew mengenai misi kemanusiaannya ke Gaza, Palestin. Beliau ‘dihujani’ pelbagai tuduhan daripada beberapa pihak.

Bagaimanapun setelah segalanya semakin ‘memuncak’, akhirnya Ebit memutuskan untuk membuat laporan polis bagi menafikan segala tuduhan yang dilempar ke atasnya. Beliau juga tampil menjawab segala tuduhan secara langsung menerusi IG Live.

Meskipun begitu, beliau difahamkan tetap masih ‘berlapang dada’ untuk memaafkan mana-mana pihak yang pernah menjatuhkan kredibilitinya.

“Saya benar-benar maafkan dari hati semua yang menfitnah dan menjatuhkan saya. Saya maafkan semua yang pernah panggil saya syaitan, dajjal, babi, bodoh, penunggang dan lain-lain.

“Saya maafkan sesiapa sahaja yang telah menyakiti arwah ayah saya, bidadari saya dan anak-anak saya. Saya maafkan semua. Kita semua sebuah keluarga sampai bila-bila. Saya maafkan kerana Allah,” katanya di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Ebit memaklumkan bahawa tindakan yang beliau ambil ini hanyalah semata-mata untuk menjernihkan semula keadaan setelah dituduh dengan pelbagai tuduhan.

“Saya dengan ini dari hujung rambut sampai hujung kaki minta maaf kepada sesiapa sahaja yang langsung atau tak langsung atas apa yang berlaku ini.

“Niat saya hanya nak menjelaskan tuduhan terhadap saya. Saya minta maaf ye semua,” luahnya lagi.

Justeru, Ebit berpesan bahawa orang awam perlu untuk bersatu hati semula, selain turut menyeru untuk bersama-sama berdoa agar wabak COVID-19 ini berakhir dan petugas barisan hadapan terus diberi kekuatan.

Tidak kurang juga, Ebit turut menasihatkan bahawa konflik yang berlaku antara dua pihak tidak akan menguntungkan siapa-siapa, malah ianya lebih merugikan.

“Sedang kita berselisih begini ramai orang miskin dan anak yatim lapar. Ramai hilang kerja dan tempat tinggal. Tanyalah khabar jiran dan keluarga terdekat. Bila dua orang berselisih keduanya tidak untung. Tapi yang untung ialah syaitan.

“Sekali lagi saya minta maaf. Doakan saya yer. Cukuplah sampai sini yer. Ya Allah jika ada pahala untuk semua yang berlaku ini saya hadiahkan semua pahalanya buat mak ayah saya,” tambahnya.

Sumber: Ebit Lew

Nur Adnin

'Jilat luka, tampal parut jadi lencana'